SANDAKAN : Pengusaha lori tipper yang mengangkut buah tandan segar (FFB) dari ladang ke pusat timbang dan kilang di Sabah merayu kerajaan mengkaji semula pelaksanaan Program BUDI Diesel selepas mendakwa mereka tidak layak menerima subsidi diesel di bawah skim berkenaan.
Mereka berkata, kenaikan harga diesel hampir dua kali ganda menyebabkan kos operasi meningkat mendadak sehingga ada pengusaha terpaksa menghentikan operasi lori kerana tidak lagi mampu menanggung perbelanjaan.
Kira-kira 50 pengusaha lori tipper berkumpul di Sandakan hari ini bagi menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan program tersebut.
Menurut mereka, terdapat sekitar 200 pengusaha lori tipper di Sandakan yang mengendalikan pengangkutan FFB dari ladang ke pusat timbang dan kilang di kawasan Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Telupid serta Paitan.
Seorang pengusaha, Voo Lip Chung, berkata dua lori tipper miliknya yang menjadi sumber utama pendapatan keluarga kini tidak lagi beroperasi akibat peningkatan kos.
“Saya ada dua tipper. Tapi buat masa ini, tipper saya langsung tidak bergerak. Minyak naik, tayar naik, alat ganti semua naik. Kami sudah tidak mampu menampung kos. Kami harap kerajaan dapat mempertimbangkan nasib kami. Lori lain ada subsidi, kami pun cari makan juga,” katanya.
Seorang lagi pengusaha, Muhammad Syahrul Silaina, berkata penggunaan diesel bagi lori tipper adalah tinggi kerana kebanyakan operasi pengangkutan FFB menggunakan kenderaan jenis itu.
Menurutnya, ramai pengusaha kini terpaksa memarkir lori masing-masing kerana tidak mampu membayar komitmen bulanan termasuk pinjaman bank.
“Kalau keadaan begini berterusan, kami sukar membayar komitmen dengan bank. Kadar sewa pengangkutan pula masih belum diputuskan oleh pihak industri. Sebab itu kebanyakan lori sekarang terpaksa diparkir,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum-Gum, Arunaransin Taib, menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian memandangkan lori tipper memainkan peranan penting dalam rantaian industri sawit.
Beliau berkata, tanpa lori yang mengangkut FFB dari ladang ke kilang, operasi pemprosesan sawit akan turut terjejas.
Pengusaha mendakwa lori tipper antara kategori kenderaan yang tidak tersenarai sebagai penerima subsidi diesel di bawah Program BUDI Diesel.
Mereka memberi amaran lebih banyak lori akan dihentikan operasinya sekiranya perkara itu tidak ditangani segera kerana kos operasi semakin membebankan.
Sehubungan itu, mereka berharap kerajaan menilai semula syarat kelayakan Program BUDI Diesel dengan memasukkan lori tipper dalam senarai penerima subsidi bagi memastikan rantaian pengangkutan FFB dari ladang ke kilang di Sabah tidak terjejas.
Wakil pengusaha lori Sandakan, Mohd Saddam Suding, berkata lori tipper merupakan antara pengangkutan utama yang menyokong industri perladangan sawit di negeri itu.
“Kami merupakan pengangkutan utama bagi hasil tanaman di Sabah. Tanpa lori kami, hasil sawit mungkin tidak akan sampai ke kilang. Kami berharap pihak bertanggungjawab memandang serius masalah yang sedang dihadapi pengusaha lori tipper,” katanya.
