KUALA LUMPUR: Lima wanita Indonesia ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan memperalatkan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan warga tempatan untuk mengemis sambil berpura-pura sebagai pasangan suami isteri.
Mereka ditahan Jabatan Imigresen (Imigresen) dalam operasi di sekitar Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, bermula jam 10 malam tadi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata operasi oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu dijalankan berdasarkan maklumat awam dan risikan.
“Pasukan operasi memeriksa 10 individu terdiri daripada lima warga Malaysia dan lima warga asing.
“Daripada jumlah itu, lima wanita Indonesia berusia antara 29 hingga 56 tahun ditahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati wanita berkenaan dipercayai mendalangi kegiatan itu dengan memanipulasi OKU tempatan bagi meraih simpati dan mendapatkan sumbangan orang ramai.
“Mereka akan memimpin OKU berkenaan ke lokasi tumpuan awam, khususnya kawasan kedai makan pada waktu malam.
“Mereka kemudian berpura-pura sebagai pasangan suami isteri bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata orang ramai yang memberikan sumbangan turut diberi tisu sebagai balasan bagi mewujudkan gambaran seolah-olah berlaku aktiviti jualan.
“Kegiatan itu dipercayai menghasilkan pendapatan antara RM100 hingga RM200 setiap malam dan dipercayai beroperasi sejak awal Januari lalu,” katanya.
Mengulas status imigresen wanita berkenaan, Zakaria berkata seorang daripada mereka menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara sektor pembantu rumah, manakala seorang lagi menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial.
“Seorang lagi didapati tinggal lebih masa. Dua wanita lain pula tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.
“Pasukan operasi turut menyita tiga pasport Indonesia, barangan yang digunakan dalam kegiatan berkenaan serta wang tunai RM159 yang dipercayai hasil mengemis,” katanya.
Kesemua wanita itu dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.
Zakaria berkata Imigresen akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara demi memelihara kestabilan dan kemakmuran negara.
Kredit sumber: Berita Harian
