SANDAKAN, 12 Julai 2026 – Seorang lelaki dipercayai berusia lingkungan 30-an ditemukan rentung selepas sebuah rumah terbakar dalam kejadian di Jambatan 3, Kampung Batu Putih, Batu 7, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 4.56 pagi sebelum sebuah jentera bersama 12 anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai.
Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal serta sebuah kedai, dengan kedua-dua struktur tersebut musnah sepenuhnya.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan. Bekalan air diperoleh daripada tangki jentera bomba serta sumber air terbuka berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, api berjaya dikawal pada jam 5.24 pagi sebelum mayat mangsa ditemukan dalam keadaan rentung pada jam 6.04 pagi.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Tambah beliau, pemeriksaan menyeluruh turut dilakukan bagi memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada kira-kira jam 8.30 pagi.
Operasi berkenaan turut mendapat bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). – DAKWAT RAKYAT POST
