PUTATAN, 12 Julai 2026 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya (SAY), turun padang mengadakan program walkabout pada waktu malam bagi meninjau sendiri keadaan keselamatan, kemudahan awam serta isu yang dihadapi penduduk di beberapa kawasan dalam DUN berkenaan.
Program yang berlangsung dari kira-kira jam 8.30 malam hingga 11 malam itu melibatkan penyertaan wakil komuniti, pasukan keselamatan dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), dengan laluan sejauh kira-kira enam kilometer merentasi Kampung Muhibbah, Kampung Contoh dan Kampung Sri Pandan.
Menurut Shah Alfie, pendekatan turun padang pada waktu malam memberi peluang untuk melihat sendiri keadaan sebenar di kawasan perumahan selain mengenal pasti isu yang memerlukan perhatian segera.
Beliau berkata, sepanjang tinjauan tersebut beberapa perkara dikenal pasti termasuk aspek melibatkan aktiviti belia, keadaan lampu jalan dan keperluan menaik taraf kemudahan serta projek pembangunan di kawasan terbabit.
“Melalui rondaan bersama KRT dan pihak polis di tiga kampung ini, kita dapat melihat sendiri beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan keadaan semasa, namun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan khususnya berkaitan keselamatan dan pelaksanaan projek demi keselesaan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai Program Jom Ronda Sukarela KRT Daerah Putatan yang diadakan di Dewan Kampung Muhibbah Lama, di sini, malam Sabtu.
Dalam perkembangan sama, Shah Alfie menggalakkan penduduk terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa serta wakil rakyat dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang isu keselamatan atau permasalahan setempat.
Menurutnya, kerjasama erat antara masyarakat, KRT dan agensi keselamatan penting bagi memastikan kesejahteraan serta keharmonian komuniti terus terpelihara.
Beliau turut memaklumkan bahawa program walkabout dan rondaan seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang berikutan sambutan serta maklum balas positif yang diterima daripada penduduk di kawasan berkenaan. – DAKWAT RAKYAT POST
