Screenshot
LAHAD DATU, Kerajaan Negeri Sabah memberi perhatian serius terhadap isu kewujudan komuniti pelauh atau komuniti laut tanpa negara (stateless) yang semakin ketara di beberapa kawasan di negeri ini, termasuk di kawasan bandar.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, penyelesaian terhadap isu berkenaan memerlukan pendekatan menyeluruh yang bukan hanya tertumpu kepada aspek penguatkuasaan, malah turut melibatkan kebajikan serta pendidikan.
Menurut beliau, kerajaan sedang memperincikan cadangan mewujudkan sebuah pusat persinggahan khusus bagi komuniti berkenaan, termasuk merangka bentuk pengisian program yang sesuai.
“Kita akan perincikan dari semasa ke semasa pengisian di pusat berkenaan. Sudah tentu antara keutamaan ialah memberikan pendidikan kepada mereka kerana pendidikan mampu membentuk kefahaman serta membantu mengelakkan mereka daripada terjebak dengan perkara-perkara negatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Jelajah Aspirasi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan di Pejabat Majlis Daerah Lahad Datu.
Isu komuniti pelauh kembali menjadi perhatian apabila terdapat sebahagian daripada mereka dilihat meminta sedekah di lampu isyarat serta kawasan premis perniagaan, selain timbul kebimbangan masyarakat terhadap penglibatan segelintir mereka dalam aktiviti menghidu gam.
Arifin berkata, kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sokongan masyarakat amat penting bagi memastikan golongan berkenaan, khususnya kanak-kanak, tidak terus tercicir daripada arus pembangunan.
Beliau yakin usaha bersepadu yang melibatkan kerajaan, NGO dan masyarakat mampu membuka peluang kepada komuniti pelauh untuk memperoleh pendidikan serta masa depan yang lebih baik.
