KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman menegaskan jasa serta pengorbanan mantan pegawai kanan Kerajaan Negeri akan terus menjadi asas penting kepada pembangunan dan kemajuan Sabah.
Penghargaan itu disampaikan menerusi ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Perhubungan Awam Tuan Yang Terutama (SUPA), Datuk Haji Abdullah Hussin, pada Majlis Ramah Mesra Tuan Yang Terutama bersama Mantan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sabah yang berlangsung di Istana Seri Kinabalu semalam.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, mantan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman, serta barisan mantan pegawai kanan Kerajaan Negeri Sabah.
Menurut Datuk Abdullah, penganjuran majlis berkenaan merupakan cetusan idea Tun Musa sendiri sebagai tanda penghargaan kepada semua mantan pegawai yang pernah menyumbang tenaga dan kepakaran dalam perkhidmatan awam negeri.
Katanya, majlis itu diadakan bagi menzahirkan rasa syukur serta penghargaan atas komitmen dan sumbangan besar mereka sepanjang berkhidmat kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata, walaupun sebahagian daripada mereka telah menamatkan perkhidmatan, segala usaha dan khidmat bakti yang dicurahkan akan terus dikenang kerana menjadi antara faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan pentadbiran serta pembangunan Sabah sehingga kini.
Menurutnya lagi, legasi yang ditinggalkan oleh para mantan pegawai turut menjadi landasan kepada generasi baharu dalam perkhidmatan awam untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.
Dalam ucapannya, beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan ganjaran yang sebaik-baiknya kepada semua mantan pegawai atas segala jasa, pengorbanan dan dedikasi yang telah diberikan sepanjang berkhidmat kepada negeri.
Sementara itu, Datuk Abdullah berkata keberangkatan Tun Musa ke majlis berkenaan membawa makna yang cukup besar kepada para hadirin kerana ia mencerminkan penghargaan tinggi kepimpinan negeri terhadap sumbangan bekas penjawat awam.
Beliau berkata, pertemuan itu bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim antara kepimpinan negeri dan mantan pegawai kerajaan, malah menjadi wadah untuk terus menghargai peranan mereka dalam membentuk landskap pentadbiran serta pembangunan Sabah sejak dahulu hingga kini. – DAKWAT RAKYAT POST
