SANDAKAN: Wakil rakyat di Sabah disaran menyalurkan cadangan penambahbaikan pelaksanaan BUDI Diesel kepada Jawatankuasa Penyelarasan Isu Subsidi Diesel Negeri Sabah sebelum dikemukakan secara rasmi kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, antara cadangan yang dibangkitkan ialah supaya syarat kelayakan bantuan BUDI Diesel diseragamkan dengan bantuan subsidi petrol BUDI95 bagi memudahkan pelaksanaan serta memberi manfaat lebih menyeluruh kepada rakyat.
Menurut beliau, cadangan itu disuarakan beberapa wakil rakyat di Sandakan selepas menerima maklum balas daripada masyarakat di peringkat akar umbi.
Katanya, cadangan berkenaan perlu disampaikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Isu Subsidi Diesel Negeri Sabah, bagi membolehkan syor tersebut dibawa secara rasmi kepada Kementerian Kewangan di peringkat Persekutuan.
Armizan menjelaskan bahawa pengurusan bantuan BUDI Diesel dan BUDI Agri-Komoditi bagi individu berada di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengurus pelaksanaan diesel bersubsidi untuk kenderaan perdagangan menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan kerajaan negeri sedang memperhalusi mekanisme pelaksanaan subsidi diesel bersasar bersama Kementerian Kewangan serta agensi Persekutuan berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan di Sabah.
Menurut beliau, mesyuarat susulan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan berhubung perkara itu telah diadakan pada 17 Julai lalu.
Dalam perkembangan sama, Armizan turut menyampaikan fleet card SKDS kepada 15 syarikat di Sandakan yang layak di bawah kategori baharu pengangkutan darat persendirian.
Kategori tersebut mula dibuka pada 3 Julai lalu kepada pemilik perniagaan yang menggunakan kenderaan jenis jip dan pikap diesel, termasuk perusahaan mikro serta perusahaan kecil.
Sehingga 23 Julai, sebanyak 15,388 syarikat melibatkan 25,781 kenderaan telah berdaftar di bawah inisiatif berkenaan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, Sabah merekodkan penyertaan tertinggi dengan 5,583 syarikat membabitkan 10,046 kenderaan.
Setiap kenderaan yang diluluskan di bawah program tersebut layak menerima kuota sebanyak 300 liter diesel bersubsidi setiap bulan. – DAKWAT RAKYAT POST
