KOTA KINABALU, 26 Julai 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menegaskan dakwaan yang tular di media sosial kononnya ramai tahanan warga Filipina meninggal dunia akibat keadaan sesak di Depot Tahanan Imigresen Negeri Sabah adalah tidak benar dan tidak berasas.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pihaknya menafikan sepenuhnya penyebaran maklumat tersebut yang disifatkan mengelirukan orang ramai.
Beliau turut menjelaskan bahawa gambar-gambar yang dikaitkan dengan dakwaan berkenaan bukanlah dirakam di mana-mana Depot Tahanan Imigresen yang berada di bawah pengurusan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah.
Menurutnya, semua tahanan warga Filipina yang kini ditempatkan di depot tahanan di negeri ini berada dalam keadaan baik sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal.
Katanya, sepanjang berada di depot, setiap tahanan diberikan layanan mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur operasi standard yang berkuat kuasa, termasuk penyediaan kemudahan asas, makanan mengikut jadual yang ditetapkan serta menu yang memenuhi keperluan nutrisi sebagaimana diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Selain itu, tahanan turut menerima akses kepada rawatan perubatan dan keperluan asas lain apabila diperlukan bagi memastikan kebajikan serta kesihatan mereka sentiasa terpelihara.
Sitti Saleha berkata, proses penghantaran pulang warga Filipina melalui laluan kapal dari Sandakan ke Zamboanga, yang sebelum ini menjadi laluan utama repatriasi, telah digantung oleh pihak berkuasa Filipina sejak Februari 2026.
Menurut beliau, keadaan itu memberi kesan kepada kelancaran proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal.
Bagaimanapun, bagi memastikan proses repatriasi dapat diteruskan, JIM Sabah kini menggunakan laluan alternatif iaitu menerusi penerbangan dari Kota Kinabalu ke Manila serta laluan laut dari Lahad Datu ke Bongao.
Namun, jelasnya, pelaksanaan penghantaran pulang melalui laluan tersebut bergantung kepada persetujuan keluarga tahanan untuk menanggung kos perjalanan.
Beliau menegaskan JIM Sabah kekal komited dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan semua tahanan sentiasa terpelihara, di samping melaksanakan proses penghantaran pulang mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan dengan kerjasama pihak berkuasa Republik Filipina.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat, gambar dan kandungan yang tidak disahkan kesahihannya, sebaliknya merujuk kepada saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia bagi mendapatkan maklumat yang tepat. – DAKWAT RAKYAT POST
