KOTA MARUDU: Penduduk di 10 kampung bermula Simpang Empat Bongkol, Pitas merayu pihak berkaitan mempercepatkan penyambungan bekalan elektrik selepas lebih sedekad menunggu walaupun tiang elektrik, kabel, meter dan pendawaian rumah sudah lama siap dipasang.
ADVERTISEMENT
Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Maringgan, Mangkobou Laut, Mangkobou Darat, Layak-Layak, Serutil dan beberapa kampung lain di kawasan berkenaan yang masih belum menikmati kemudahan asas itu.
Salah seorang penduduk Joheadi Osman berkata, tiang elektrik mula dipasang sekitar 2012 hingga 2013, namun sehingga kini bekalan elektrik masih belum disalurkan kepada penduduk.
Menurutnya, penduduk juga diminta menyiapkan pendawaian rumah masing-masing dengan kos antara RM900 hingga RM1,000 kerana dimaklumkan bekalan elektrik akan disambungkan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini semua kemudahan yang dipasang masih belum dapat digunakan.
“Dulu kami dimaklumkan kelewatan berlaku kerana pembinaan jalan di kawasan ini.
“Jalan sudah lama siap tetapi masih tiada tindakan lanjut untuk menyambungkan bekalan elektrik,” katanya.
Beliau berkata, baru-baru ini penduduk sekali lagi dimaklumkan projek itu menunggu pembinaan pencawang elektrik.
Katanya, pencawang berkenaan kini sudah lebih tiga tahun siap dibina, namun bekalan elektrik masih belum disalurkan ke rumah penduduk.
“Keadaan ini mengecewakan kerana semua persiapan sudah dibuat tetapi penduduk terus bergantung kepada sumber bekalan elektrik alternatif yang lebih mahal dan tidak stabil.
“Sebahagian pemasangan elektrik di rumah juga mula rosak akibat terlalu lama tidak digunakan.
“Kami hanya mahu bekalan elektrik disambungkan kerana semuanya sudah siap, oleh itu kami berharap pihak berkaitan dapat turun melihat sendiri keadaan di kampung dan menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan lebih 10 tahun ini,” katanya.
Penduduk berharap isu berkenaan diberi perhatian segera memandangkan bekalan elektrik adalah keperluan asas yang penting bagi meningkatkan taraf hidup serta pembangunan masyarakat di 10 kampung berkenaan.
Kredit sumber: Utusan Borneo Online
