SEMPORNA, 26 Julai 2026 – Kerajaan Sabah mengambil langkah penting bagi menangani isu pelesenan yang sekian lama dihadapi pengusaha pelancongan di Semporna apabila secara dasar bersetuju membolehkan pemegang Lesen Pendudukan Sementara (TOL) memohon lesen pelancongan.
Inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 80 resort dan chalet di daerah itu yang sebelum ini berdepan kesukaran mendapatkan lesen operasi, sekali gus membantu memperkukuh pembangunan industri pelancongan secara lebih teratur dan berdaya saing.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr. Andi Md. Shamsureezal Mohd. Sainal berkata, persetujuan tersebut dicapai menerusi kerjasama erat antara Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS) dengan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP).
Menurut beliau, keutamaan akan diberikan kepada pengusaha sedia ada yang telah dikenal pasti supaya mereka dapat melengkapkan proses pelesenan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Katanya, sebelum ini cadangan melibatkan TOL bagi tujuan pelancongan tidak diluluskan, namun hasil perbincangan bersama KKTP, persetujuan secara teknikal telah dicapai bagi membolehkan kemudahan itu diberikan kepada pemain industri pelancongan di Semporna yang telah beroperasi.
Beliau berkata, langkah tersebut akan membolehkan pengusaha mendapatkan lesen pelancongan daripada MOTAC sekali gus menyelesaikan isu pelesenan yang telah lama membelenggu sektor pelancongan di daerah berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Kelapan Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna Sabah (PUSPABUMI), pada Sabtu.
Sementara itu, Pengerusi PUSPABUMI, Mad Zafar Mad Zahal menyifatkan keputusan kerajaan negeri itu sebagai perkembangan yang amat positif kepada pengusaha pelancongan tempatan yang sekian lama berdepan masalah berkaitan lesen operasi.
Menurut beliau, setakat ini lebih lapan ahli persatuan telah menerima kelulusan TOL, manakala permohonan ahli lain masih dalam proses.
Katanya, keputusan untuk memudahkan pemegang TOL memperoleh lesen pelancongan memberikan keyakinan baharu kepada pengusaha kerana sebelum ini timbul pelbagai kekeliruan berhubung kelayakan pemegang TOL mendapatkan lesen berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri, khususnya KEPKAS, yang memainkan peranan aktif membantu persatuan mencari penyelesaian terhadap isu tersebut.
Beliau berharap pelaksanaan dasar baharu itu dapat mempercepatkan proses pelesenan, meningkatkan keyakinan pelabur dan pengusaha tempatan serta terus merancakkan pertumbuhan industri pelancongan di Semporna. – DAKWAT RAKYAT POST
