TAWAU: Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) 2026 menyasarkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung sepanjang penganjurannya yang berlangsung sehingga 1 Ogos ini, dengan penyertaan empat delegasi dari luar negara.
Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang juga Pengerusi Jawatankuasa FKAT 2026, Mohd Shoffian Mohd Said, berkata delegasi dari Uzbekistan, Kazakhstan, Kemboja dan Indonesia bakal memeriahkan festival yang memasuki edisi ke-11 tahun ini.
Menurut beliau, penyertaan antarabangsa itu membuktikan FKAT terus mendapat pengiktirafan sebagai antara festival kebudayaan yang mempunyai daya tarikan di peringkat antarabangsa.
“Indonesia kekal sebagai rakan utama festival dengan penyertaan setiap tahun, khususnya dari Nunukan. Kehadiran delegasi dari negara lain pula terus memperkukuh kedudukan FKAT sebagai acara kebudayaan bertaraf antarabangsa.
“Kita pernah merekodkan kehadiran 50,000 pengunjung dan berharap jumlah itu dapat dicapai, malah mungkin melebihi sasaran pada tahun ini, termasuk dengan kehadiran pengunjung dari daerah berhampiran,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa FKAT 2026 di MPT, hari ini.
Beliau berkata, FKAT 2026 turut menghimpunkan penyertaan 32 etnik termasuk dua etnik baharu, dengan kira-kira 30 etnik dijadual mempersembahkan warisan budaya masing-masing selain empat persembahan khas oleh delegasi antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, Mohd Shoffian berkata, penganjuran kali ini turut memberi penghargaan kepada tiga tokoh yang disifatkan sebagai pencetus serta penggerak awal festival berkenaan.
Katanya, penghargaan khas itu diberikan kepada Allahyarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Datuk Ismail Mayakob dan Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai sebagai mengenang jasa serta sumbangan mereka dalam membangunkan FKAT.
FKAT 2026 yang bermula pada 25 Julai lalu akan melabuhkan tirainya pada 1 Ogos depan dengan acara kemuncak dijadual disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai, khususnya penduduk Tawau serta daerah berhampiran seperti Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Kalabakan, hadir bagi memeriahkan festival berkenaan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pengunjung supaya sentiasa menjaga aspek keselamatan, kebersihan dan kesantunan sepanjang festival berlangsung bagi memastikan penganjurannya berjalan lancar. – DAKWAT RAKYAT POST
