SANDAKAN: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) melaksanakan operasi bersepadu berskala besar di kawasan setinggan Kampung Mangkalinau di sini, bagi membanteras kegiatan sambungan paip air haram yang menjejaskan bekalan kepada pengguna berdaftar.
Operasi yang berlangsung dari jam 7 pagi hingga 3 petang itu diketuai JANS dengan kerjasama 18 agensi penguatkuasaan Persekutuan dan negeri, melibatkan seramai 89 anggota.
Dalam operasi tersebut, seorang individu ditahan, 43 sambungan paip haram dipotong manakala dua unit pam air yang digunakan untuk aktiviti berkenaan turut disita.
Ketua Penolong Pengarah Cawangan Penguatkuasa dan Keselamatan JANS, Azmie Sabli berkata, operasi kali ini memberi tumpuan kepada kawasan setinggan yang dikenal pasti menjadi antara penyumbang utama kepada kadar kehilangan air tidak berhasil atau Non-Revenue Water (NRW) di Sandakan.
Menurut beliau, sambungan paip haram bukan sahaja menyebabkan kehilangan hasil kepada kerajaan, malah mengurangkan tekanan bekalan sehingga menjejaskan pengguna yang mendapatkan bekalan secara sah.
“Untuk kali ini, kita fokus kepada kawasan setinggan. Kawasan setinggan ini menyumbang kepada non-revenue water. Ia juga mengurangkan tekanan bekalan air dan menyebabkan bekalan air tidak sampai kepada pengguna.
“Untuk operasi kali ini, kita akan membuat tangkapan dan siasatan berdasarkan Seksyen 49(b), iaitu kesalahan mengambil air secara tidak sah tanpa meter atau saluran yang betul,” katanya.
Dalam operasi sama, Sabah Electricity turut mengesan dan memotong 40 sambungan elektrik haram serta menanggalkan kira-kira 82 kilogram wayar yang disambung secara tidak sah.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mengeluarkan tiga kompaun selain merampas 11 pek rokok dalam pemeriksaan yang dijalankan.
Kes sambungan air haram disiasat mengikut Seksyen 49(b), Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi setahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
JANS menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas bagi membendung kegiatan kecurian air serta memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan kepada pengguna yang sah. – DAKWAT RAKYAT POST
