KOTA BELUD: Bunyi letupan bom, tembakan bertalu-talu dan deruan helikopter tempur Australia yang berlegar rendah di ruang udara menjadi latar Eksesais Keris Strike Siri 31/2026, apabila lebih 2,800 anggota tentera dari Malaysia, Amerika Syarikat dan Australia bergabung dalam misi menawan kubu musuh di puncak bukit.
Dalam senario peperangan yang mensimulasikan operasi sebenar itu, anggota terpaksa meredah hutan tebal, menyeberangi sungai dan mendaki hampir lapan jam sebelum berjaya melancarkan serangan ke atas kubu yang dikuasai kumpulan lanun.
Biarpun sekadar latihan, setiap pergerakan dirancang seolah-olah berada di medan tempur sebenar. Tiada ruang untuk kesilapan apabila setiap anggota perlu mematuhi arahan, mengatur pergerakan dan menyelaras serangan mengikut pelan operasi yang ditetapkan.
Eksais selama 14 hari bermula 13 Julai lalu itu bukan sekadar menguji ketahanan fizikal anggota, malah menjadi platform memperkukuhkan kerjasama pertahanan antara tiga negara dalam menghadapi ancaman keselamatan serantau yang semakin kompleks.
Sepanjang latihan, anggota bukan sahaja diuji dengan laluan berbukit, hutan tebal dan sungai, malah perlu membawa kelengkapan tempur serta bekalan bagi memastikan misi dapat diteruskan tanpa menjejaskan keupayaan operasi.
Objektif utama eksais kali ini memberi penekanan terhadap aplikasi Large-Scale Combat Operations (LSCO) iaitu konsep peperangan berskala besar yang memerlukan penyelarasan menyeluruh antara pelbagai elemen tempur bagi mencapai sesuatu objektif.
Melalui konsep itu, setiap pasukan tidak bergerak secara bersendirian, sebaliknya saling menyokong antara satu sama lain menerusi penyelarasan operasi darat, bantuan udara, komunikasi dan logistik dalam satu rangkaian operasi yang tersusun.
Bagi memastikan objektif itu dicapai, latihan dilaksanakan menerusi Staff Exercise (STAFFEX) dan Field Training Exercise (FTX) di peringkat briged yang memberi penekanan kepada aspek perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan operasi di lapangan.
Setiap senario dirangka bagi menguji keupayaan pegawai dan anggota membuat keputusan pantas, menyesuaikan tindakan mengikut perubahan situasi serta memastikan setiap misi dapat diteruskan walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Dalam latihan kemuncak, anggota melaksanakan serangan secara bersepadu untuk menawan kubu musuh dengan sokongan aset udara, selain menyelaras kemaraan pasukan secara sistematik sehingga sasaran berjaya dikuasai.
Pada masa sama, penyertaan United States Army Pacific Command (USARPAC) dan Australian Defence Force (ADF) memberi peluang kepada anggota Tentera Darat Malaysia bertukar pengalaman, kepakaran serta memahami prosedur operasi yang digunakan oleh rakan strategik.
Latihan itu juga meningkatkan tahap interoperabiliti antara ketiga-tiga angkatan supaya setiap pasukan mampu beroperasi sebagai satu formasi sekiranya terbabit dalam operasi bersama pada masa hadapan.
Selain aspek taktikal, eksesais berkenaan membentuk keyakinan, disiplin serta semangat berpasukan dalam kalangan anggota yang menjadi elemen penting dalam menentukan kejayaan sesuatu operasi ketenteraan.
Selepas mengharungi pelbagai fasa latihan selama dua minggu, Eksesais Keris Strike Siri 31/2026 bukan sahaja membuktikan kesiapsiagaan anggota dalam menghadapi cabaran peperangan moden, malah mengukuhkan lagi hubungan pertahanan Malaysia, Amerika Syarikat dan Australia sebagai rakan strategik dalam memastikan keamanan serta kestabilan serantau.
Kredit sumber: Berita Harian
