TUNGKU, 4 Ogos 2026 – Impian memiliki rumah sendiri yang dinanti sejak lebih dua dekad masih belum menjadi kenyataan buat sekumpulan pembeli di projek perumahan Taman Khazanah Indah apabila projek berkenaan terus terbengkalai meskipun telah beberapa kali bertukar pemaju.
Antara yang paling terkesan ialah peniaga, Jumasni Jafar, yang bersama suami serta empat anaknya masih menyewa sebuah bilik kecil sejak 21 tahun lalu sambil meneruskan bayaran ansuran rumah yang belum dapat diduduki.
Menurutnya, keadaan itu memberi tekanan besar kepada keluarganya kerana mereka masih perlu menanggung pelbagai komitmen kewangan walaupun rumah yang dibeli tidak siap.
“Saya sudah lama menunggu rumah itu. Harapan saya cuma mahu memiliki rumah yang telah saya bayar. Pada usia sekarang saya tidak mahu menambah komitmen atau membuat hutang baharu kerana beban sedia ada sudah cukup besar,” katanya.
Jumasni berkata, keluarganya kini membayar sewa bilik sebanyak RM300 sebulan, ansuran rumah RM600 dan sewa gerai perniagaan RM1,000 setiap bulan, sekali gus menambahkan tekanan kewangan yang dihadapi.
Beliau turut berharap pihak berkaitan dapat menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin demi semua pembeli yang terlibat.
Katanya, ramai pembeli lain turut menunggu nasib yang sama, malah ada antara mereka telah meninggal dunia sebelum sempat memiliki rumah berkenaan sehingga waris terpaksa meneruskan tuntutan.
“Ini adalah hak kami kerana kami telah membuat bayaran. Kami hanya mahu hak kami dikembalikan. Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan segera demi semua pembeli yang masih menunggu,” katanya.
Sementara itu, suaminya, Suhili Muhammadin yang bekerja sebagai anggota keselamatan RELA berkata, keluarganya sudah terlalu lama hidup dalam keadaan serba kekurangan akibat terpaksa tinggal di ruang yang sempit.
Menurutnya, keadaan itu menjadi semakin sukar apabila anak-anak semakin membesar, sekali gus menyebabkan ruang kediaman yang disewa tidak lagi sesuai untuk didiami.
Beliau berharap pihak berkuasa dapat mencari jalan penyelesaian terbaik sama ada meneruskan pembinaan projek berkenaan atau memulangkan semula wang pembeli.
“Kami sekeluarga hanya berharap impian memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan. Semoga segala urusan dipermudahkan dan penyelesaian dapat dicapai,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil perhatian terhadap isu melibatkan pembeli rumah yang berdepan kelewatan mendapatkan hak milik.
Beliau berkata, kerajaan sebelum ini telah meluluskan Rang Undang-Undang berkaitan Management Corporation (MC) yang mempunyai kaitan dengan usaha memperkukuh pengurusan isu perumahan, selain mengenal pasti langkah-langkah bagi membantu golongan terjejas.
Menurutnya, terdapat beberapa kes seumpama itu di daerah lain dan kerajaan akan berusaha menyelesaikannya secara berperingkat.
“Kita akan membantu setakat yang termampu kerana perkara ini merupakan tanggungjawab kerajaan, khususnya yang melibatkan kebajikan dan kepentingan rakyat,” katanya.
Difahamkan, projek Taman Khazanah Indah yang melibatkan unit rumah Semi-D itu masih gagal disiapkan sehingga kini walaupun telah bertukar pemaju sebanyak tiga kali.
Kira-kira 20 pembeli masih menunggu penyelesaian, manakala beberapa pembeli dilaporkan telah meninggal dunia sebelum sempat menerima rumah yang mereka beli. Situasi itu menyebabkan waris mereka kini meneruskan tuntutan bagi mendapatkan hak yang sewajarnya. – DAKWAT RAKYAT POST
