KALABAKAN: Kerajaan Sabah merancang membangunkan sebuah bandar baharu di Kalabakan dengan mengenal pasti kawasan seluas kira-kira 1,000 ekar sebagai langkah memperkukuh pembangunan ekonomi serta meningkatkan kemudahan di kawasan sempadan negeri.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelaksanaan projek itu kini berada di peringkat perancangan dan akan dilaksanakan secara berfasa mengikut keutamaan serta keperluan pembangunan.
Beliau berkata, antara komponen utama yang dirancang ialah pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Malaysia-Indonesia selain penyediaan rangkaian jalan raya yang menghubungkan Kalabakan dengan kawasan sempadan.
“Kita telah mengenal pasti kawasan seluas kira-kira 1,000 ekar bagi tujuan pembangunan bandar baharu ini. Perancangan sedang diperincikan dan akan dilaksanakan secara berperingkat pada masa akan datang.
“Perancangan itu turut melibatkan pembinaan CIQS di sempadan serta jalan raya yang menghubungkan Kalabakan dengan kawasan sempadan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Rakyat Parlimen Kalabakan di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kalabakan, hari ini.
Menurut Hajiji, kerajaan negeri komited memastikan Kalabakan tidak terus tercicir daripada arus pembangunan memandangkan daerah itu mempunyai kedudukan strategik berhampiran sempadan Indonesia yang berpotensi menjadi pintu pertumbuhan ekonomi baharu.
Selain projek bandar baharu, katanya, kerajaan turut memberi perhatian terhadap peningkatan kemudahan infrastruktur asas termasuk pembinaan dan naik taraf jalan raya bagi mempertingkatkan hubungan antara kawasan serta memudahkan urusan penduduk.
Beliau berkata, beberapa projek infrastruktur sedang dilaksanakan, manakala sebahagian lagi masih dalam proses permohonan untuk mendapatkan kelulusan.
“Lawatan kerja ini bertujuan memastikan Kalabakan tidak ketinggalan dalam agenda pembangunan negeri. Kita turun padang untuk mendengar sendiri isu yang dihadapi penduduk.
“Saya turut membawa Setiausaha Kerajaan Negeri bersama pegawai-pegawai berkaitan supaya keperluan pembangunan yang perlu disegerakan dapat dikenal pasti. Berdasarkan taklimat yang diberikan, terdapat beberapa projek jalan raya yang akan dilaksanakan di daerah ini,” katanya.
Program Jelajah Rakyat Parlimen Kalabakan dianjurkan sebagai platform kerajaan negeri mendapatkan maklum balas secara langsung daripada masyarakat setempat selain mempercepat pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan. – DAKWAT RAKYAT POST
