SANDAKAN : Lebih 300 peserta terdiri daripada pelajar sekolah, pendidik dan komuniti setempat menyertai edisi ke-15 Jelajah AI MyMahir (JAM) TalentCorp yang berlangsung di Batu Sapi, Sandakan, bagi memperluaskan pendedahan terhadap kecerdasan buatan (AI) dan kemahiran masa hadapan.
Program anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) itu memberi peluang kepada peserta mempelajari penggunaan AI secara praktikal yang boleh diaplikasikan dalam pembelajaran, pekerjaan, keusahawanan dan kehidupan seharian.
Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dalam memperkukuh daya saing, produktiviti serta kesiapsiagaan rakyat menghadapi era ekonomi digital.
Beliau berkata, program itu bertujuan memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan Batu Sapi melalui pendedahan mengenai penggunaan AI secara bertanggungjawab dan beretika.
“Program di Batu Sapi merupakan siri keempat di Sabah dan sambutan yang diterima amat menggalakkan. Kita mahu memastikan masyarakat, termasuk golongan belia, warga emas dan komuniti setempat, memahami apa itu AI serta bagaimana ia boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, pada majlis perasmian Jelajah AI MyMahir TalentCorp Edisi Batu Sapi di Hotel Sanbay, pada Jumaat.
Menurutnya, setiap rakyat perlu diberi peluang yang sama untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran digital tanpa mengira lokasi supaya mereka bersedia menghadapi perubahan teknologi yang semakin pesat.
Beliau turut menegaskan bahawa AI kini menjadi keperluan dalam pelbagai aspek kehidupan, justeru masyarakat perlu dididik agar menggunakannya secara beretika dan tidak disalahgunakan.
Sementara itu, peserta program menyifatkan pendedahan yang diterima membantu mereka memahami potensi AI dalam dunia pendidikan dan kerjaya.
Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tun Juhar, Syafiqah Qistina Ardi, berkata program itu membuka ruang kepada pelajar membuat persediaan awal menghadapi perubahan landskap pekerjaan yang semakin dipengaruhi teknologi AI.
Seorang lagi pelajar sekolah sama, Aqil Syahmi Hassan, berkata beliau kini lebih memahami bahawa AI mempunyai pelbagai aplikasi dan bidang yang boleh diterokai, sekali gus mengubah tanggapannya bahawa teknologi itu hanya digunakan untuk tujuan asas.
Bagi pelajar Tingkatan Empat SMK Sandakan 2, Sitti Nurbaya Awang Zain, AI mampu membantu pelajar menyiapkan tugasan dengan lebih berkesan, termasuk menghasilkan bahan pembentangan, di samping meningkatkan peluang pekerjaan pada masa depan.
TalentCorp merupakan agensi dan badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang bertanggungjawab memperkukuh pembangunan modal insan negara.
Batu Sapi menjadi lokasi ke-15 penganjuran Jelajah AI MyMahir TalentCorp selepas siri terdahulu diadakan di beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Program itu dijangka diteruskan ke lebih banyak kawasan Parlimen bagi memperluaskan akses rakyat kepada pengetahuan AI serta kemahiran masa hadapan.
