TONGOD : Program Mobile Community Services (MCS) di Kampung Karamuak, Tongod berjaya menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dalam usaha mendekatkan perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar melalui pelbagai aktiviti dan penyampaian maklumat yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Program yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Karamuak itu dimulakan seawal jam 9 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, disusuli sesi senamrobik yang disertai petugas serta penduduk kampung bagi menyemarakkan semangat kebersamaan.
Kaunter pendaftaran kemudiannya dibuka dengan pelbagai perkhidmatan daripada agensi kerajaan disediakan bagi memudahkan urusan penduduk mendapatkan maklumat dan bantuan tanpa perlu ke bandar.
Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang program, termasuk pertandingan mewarna yang mendapat sambutan menggalakkan daripada kanak-kanak. Pada masa sama, doktor gigi mengadakan demonstrasi cara memberus gigi dengan betul bagi meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan mulut sejak usia muda.
Program diteruskan dengan sesi taklimat oleh pelbagai agensi yang berkongsi maklumat berkaitan perkhidmatan, bantuan dan inisiatif kerajaan yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.
Bagi menambah kemeriahan, sesi kuiz turut diadakan bersama pengunjung, manakala mereka yang mengikuti sesi taklimat menerima beg cenderamata sebagai tanda penghargaan atas penyertaan dan sokongan.
Sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial, sesi penyerahan alat bantu mengajar kepada pihak sekolah turut diadakan bagi menyokong keperluan pendidikan di SK Karamuak.
Program turut dimeriahkan dengan cabutan nombor bertuah yang memberi peluang kepada pengunjung membawa pulang pelbagai hadiah menarik.
Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Datuk Norali Awang Damit, turut mengadakan sesi walkabout bagi meninjau pelaksanaan program serta beramah mesra dengan para pengunjung dan wakil agensi yang mengambil bahagian.
Pada majlis sama, urus setia MCS turut menyampaikan penghargaan kepada semua agensi yang hadir atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program berkenaan.
Penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk agensi kerajaan, pihak sekolah, petugas dan masyarakat setempat yang memberikan sokongan sepanjang program berlangsung.
Program Mobile Community Services diharap dapat terus menjadi platform memperkukuh hubungan antara kerajaan dan komuniti, di samping memastikan penyampaian perkhidmatan awam dapat dinikmati secara lebih dekat dan menyeluruh oleh penduduk luar bandar.
