Islam agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Rahmat itu bukan sahaja meliputi manusia, bahkan merangkumi haiwan, tumbuh-tumbuhan dan seluruh ciptaan Allah SWT.
Oleh sebab itu, syariat Islam menetapkan bahawa setiap makhluk bernyawa mempunyai hak untuk hidup dan tidak boleh dizalimi tanpa alasan yang diiktiraf oleh syarak. Membunuh haiwan tanpa sebab adalah perbuatan amat dilarang dan mengundang dosa. Perkara ini disokong dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.”
Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, perkataan ‘rahmah’ dalam ayat ini menunjukkan bahawa risalah Islam dibina atas asas kasih sayang dan belas ihsan terhadap seluruh makhluk. Makhluk yang dimaksudkan itu juga termasuk haiwan bernyawa yang perlu diberikan hak kehidupan sewajarnya. Atas asas itu, umat Islam dituntut untuk memelihara keseimbangan alam serta mengelak sebarang bentuk kezaliman terhadap haiwan. Rasulullah SAW turut memberikan amaran keras kepada mereka yang membunuh haiwan tanpa tujuan yang dibenarkan. Sabda baginda SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang membunuh seekor burung kecil tanpa haknya, burung itu akan mengadu kepada Allah pada hari kiamat dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku, si fulan telah membunuhku tanpa manfaat.'” (Riwayat al-Nasai).
Hadis ini membuktikan nyawa seekor haiwan sekalipun mempunyai nilai di sisi Allah SWT. Haiwan bukan dicipta untuk dijadikan sasaran hiburan, permainan atau tempat melepaskan kemarahan manusia. Haiwan makhluk untuk manusia mengambil manfaat dan hidupnya bersamanya.
Al-Nawawi menjelaskan bahawa Rasulullah SAW juga pernah bersabda tentang seorang wanita yang diazab kerana mengurung seekor kucing sehingga mati kelaparan yang bermaksud: “Seorang wanita diazab kerana seekor kucing yang dikurungnya sehingga mati. Dia tidak memberinya makan dan minum serta tidak melepaskannya untuk memakan serangga di bumi.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Dalam riwayat lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Ketika seorang lelaki sedang berjalan, dia berasa sangat dahaga. Dia turun ke dalam sebuah perigi lalu minum. Apabila keluar, dia melihat seekor anjing menjilat tanah kerana terlalu dahaga. Lalu dia berkata: ‘Anjing ini juga mengalami kehausan sebagaimana aku tadi.’ Maka dia turun semula ke dalam perigi, memenuhi kasutnya dengan air, menggigitnya dengan mulut sehingga naik, lalu memberi minum kepada anjing itu. Allah berterima kasih atas amalannya lalu mengampunkan dosanya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Kedua-dua hadis ini menggambarkan bahawa layanan terhadap haiwan boleh menjadi sebab seseorang memperoleh rahmat atau azab Allah SWT di akhirat kelak. Bagaimanapun, larangan membunuh haiwan bukanlah bersifat mutlak. Ini kerana Islam membenarkan pembunuhan haiwan apabila terdapat sebab yang diiktiraf syarak. Antaranya ialah untuk mendapatkan makanan halal melalui penyembelihan yang sempurna, mempertahankan diri daripada ancaman, mencegah penyakit berbahaya atau menghapuskan haiwan perosak yang membawa mudarat kepada manusia serta harta benda. Dalam beberapa hadis, Rasulullah SAW turut membenarkan pembunuhan haiwan tertentu yang memudaratkan seperti tikus, kala jengking, burung gagak dan anjing ganas. Namun, keharusan tersebut tidak boleh disalahgunakan sehingga membawa kepada penyeksaan atau pembunuhan secara zalim. Prinsip utama Islam dalam isu ini ialah ihsan terhadap makhluk bernyawa. Rasulullah SAW bersabda dalam Riwayat Muslim yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan dalam setiap perkara. Apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan cara yang baik. Apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan cara yang baik.”
Hadis ini menjelaskan bahawa sekalipun syarak membenarkan sesuatu haiwan dibunuh, proses tersebut hendaklah dilakukan dengan penuh belas ihsan, tanpa penyeksaan, penderitaan yang berpanjangan atau sekadar suka-suka.
Malangnya, pada hari ini masih terdapat segelintir masyarakat yang menjadikan haiwan sebagai sasaran hiburan, meracun haiwan jalanan tanpa keperluan, menembak burung semata-mata untuk berseronok atau menyeksa haiwan demi mendapatkan tontonan di media sosial. Perbuatan sedemikian bukan sahaja bertentangan dengan akhlak Islam, malah mencerminkan hilangnya sifat rahmah dalam diri manusia.
Lebih membimbangkan, kajian dalam bidang psikologi jenayah menunjukkan bahawa individu yang gemar menyeksa haiwan berisiko mempunyai kecenderungan melakukan keganasan terhadap manusia pada masa hadapan. Justeru, mendidik keluarga dan masyarakat supaya berbelas ihsan terhadap haiwan sebenarnya turut menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang penyayang.
Islam juga mengajar bahawa haiwan sebahagian daripada ekosistem yang diciptakan Allah SWT. Kepupusan sesuatu spesies akibat pembunuhan tanpa kawalan boleh mengganggu keseimbangan alam sekitar. Oleh itu, menjaga kelestarian hidupan liar juga termasuk dalam tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi.
Di Malaysia, perlindungan terhadap haiwan bukan sahaja dituntut oleh agama bahkan diperkukuhkan melalui undang-undang seperti Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang memperuntukkan tindakan terhadap individu yang melakukan penganiayaan atau kekejaman terhadap haiwan. Ini menunjukkan nilai rahmah yang diajar Islam turut diterjemahkan dalam sistem perundangan negara.
Oleh yang demikian, perlu diingatkan bahawa hukum membunuh haiwan tanpa sebab yang diharuskan syarak adalah haram dan berdosa. Islam mengiktiraf hak setiap makhluk untuk hidup serta menuntut manusia berlaku ihsan terhadap semua ciptaan Allah SWT. Pembunuhan hanya dibenarkan apabila terdapat keperluan yang sah seperti makanan, keselamatan atau menghilangkan kemudaratan, dan ia hendaklah dilakukan mengikut adab yang ditetapkan syarak. Sebagai khalifah Allah di bumi, marilah kita memupuk budaya kasih sayang terhadap haiwan, mendidik generasi muda menghormati semua makhluk serta mengelakkan sebarang bentuk kezaliman. Sesungguhnya sifat rahmah terhadap makhluk di bumi menjadi sebab seseorang memperoleh rahmat daripada Allah SWT di akhirat kelak. Menyayangi haiwan ialah sebahagian daripada fitrah manusia.
Penulis Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Kredit sumber: Harian Metro
