LAHAD DATU: Sambutan Maulidur Rasul di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakapit menjadi platform penting dalam menyemai dan memupuk semangat cintakan Rasulullah SAW dalam kalangan murid sejak di peringkat awal pendidikan.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua USIA, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan, yang menekankan kepentingan pendedahan mengenai keperibadian serta akhlak Rasulullah SAW diterapkan kepada generasi muda sejak di bangku sekolah.
Beliau berkata, semangat mencintai Rasulullah SAW bukan sekadar diterapkan melalui sambutan Maulidur Rasul, sebaliknya perlu dipupuk secara berterusan supaya menjadi sebahagian daripada pembentukan sahsiah dan kehidupan murid.
“Pendedahan awal mengenai Rasulullah SAW amat penting kerana ketika di peringkat sekolah rendah inilah nilai agama, akhlak dan kecintaan kepada Rasul dapat dibentuk dan diperkukuhkan.
“Anak-anak perlu dididik untuk mengenali Rasulullah SAW, mencontohi akhlak Baginda serta mengamalkan ajaran yang dibawa dalam kehidupan seharian,” katanya.
Dalam pada itu, sempena bulan kemerdekaan, Datuk Abdul Hakim turut menyeru masyarakat supaya menghayati dan mensyukuri nikmat keamanan yang dikecapi negara pada ketika ini.
Katanya, keamanan yang dinikmati rakyat Malaysia tidak seharusnya dipandang ringan, khususnya apabila dibandingkan dengan keadaan di sesetengah negara yang sedang bergolak akibat peperangan.
“Kita perlu bersyukur kerana dapat hidup dalam keadaan aman dan anak-anak kita boleh bersekolah dengan selamat, berbanding negara yang dilanda peperangan sehingga sekolah, hospital dan pelbagai kemudahan awam musnah.
“Keamanan ini perlu kita hargai dan bersama-sama dipelihara supaya generasi akan datang turut dapat menikmati kehidupan yang aman serta mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya.
Menurutnya, sekolah mempunyai peranan penting dalam melahirkan generasi bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai keperibadian, nilai murni, semangat patriotisme dan pegangan agama yang kukuh.
Sementara itu, sambutan Maulidur Rasul di SK Bakapit turut diisi dengan pelbagai pengisian keagamaan dan aktiviti yang memberi peluang kepada murid menghayati perjuangan serta keperibadian Rasulullah SAW.
Program seumpama itu diharap dapat terus dilaksanakan sebagai usaha membentuk generasi muda yang mempunyai kecintaan kepada Rasulullah SAW, selain menghargai keamanan, mengamalkan nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan akhlak mulia dalam kehidupan seharian.
