JAKARTA: Sekurang-kurangnya lima orang disahkan maut, manakala 41 lagi masih hilang selepas sebuah feri penumpang terbakar ketika belayar di perairan berhampiran Pulau Madura, Jawa Timur, Indonesia, pada Ahad.
Agensi mencari dan menyelamat Indonesia (Basarnas) memaklumkan feri Mutiara Sentosa 2 itu membawa seramai 271 penumpang dan anak kapal ketika dalam pelayaran dari Surabaya menuju ke Makassar apabila kebakaran tercetus di atas kapal.
Sehingga petang Ahad, seramai 225 individu berjaya diselamatkan, manakala operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan baki mangsa yang masih belum ditemui.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan kepulan asap tebal menyelubungi feri berkenaan, sementara penumpang yang memakai jaket keselamatan dilihat menyelamatkan diri dengan terjun ke laut sebelum dibantu bot tunda serta kapal-kapal berhampiran.
Pihak berkuasa Indonesia berkata punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian.
Indonesia yang mempunyai lebih 17,000 pulau bergantung kepada pengangkutan laut sebagai antara jaringan utama perhubungan, namun negara itu sering berdepan insiden maritim yang dikaitkan dengan faktor keselamatan serta keadaan cuaca.
Kredit sumber: REUTERS
