Bangkok: Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Menteri Luar Sihasak Phuangketkeow, menghubungi Duta Rusia ke Thailand, Yevgeny Tomikhin, pada hari mayat adik-beradik Nazimov ditemukan bagi menyampaikan ucapan takziah, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Dua rakyat Rusia Diana Nazimova, 22, dan adik lelakinya, Roman, 17, dilaporkan hilang di bandar peranginan popular Pattaya pada 26 Julai. Suspek kemudiannya mengaku membunuh kedua-dua beradik itu.
“Ia merupakan satu kejutan kepada seluruh rakyat Thailand apabila kami mendengar mengenai kejadian itu dan lebih menyayat hati apabila ia membabitkan pembunuhan individu yang begitu muda. Perdana menteri dan saya segera menghubungi Duta Rusia ke Thailand untuk menyampaikan ucapan takziah,” kata Sihasak Phuangketkeow pada sidang media pada Isnin.
Menurut Menteri Luar itu, Perdana Menteri turut mengunjungi Pattaya dan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Polis Diraja Thailand. Beliau mengarahkan pasukan polis mengambil segala tindakan yang perlu bagi memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan serta mengelakkan jenayah seumpama itu daripada berulang di Thailand.
Anutin pada Sabtu memberitahu RIA Novosti bahawa pembunuh akan berdepan hukuman paling berat manakala siasatan menyeluruh dilakukan bagi memastikan tiada asas undang-undang yang boleh digunakan untuk mengurangkan hukuman dalam kes pembunuhan dua rakyat Rusia itu.
Kredit sumber: Harian Metro
