KUALA TERENGGANU: Seorang ibu nekad meredah api untuk mengejutkan anak sulungnya yang sedang tidur, namun usaha itu berakhir dengan tragedi apabila lelaki itu ditemui maut dalam kebakaran rumah di Kampung Gong Tok Nasek, di sini, malam tadi.
Sharipah Yusof, 59, berkata insiden kira-kira jam 10.50 malam itu berlaku ketika beliau bersama suami, Abd Rashid Md Zain, 64, sedang tidur di tingkat bawah, manakala mangsa, Abd Latif Abd Rashid, 41, tidur bersendirian dalam bilik di tingkat atas.
Katanya, beliau hanya tersedar apabila terdengar jeritan orang ramai bahawa rumah sedang terbakar dan meminta mereka sekeluarga segera keluar menyelamatkan diri.
“Mula-mula, makcik (diri Sharipah) ingatkan ada orang datang ke rumah. Apabila buka pintu bilik, terkejut tengok api sudah marak di tingkat atas, selain menyambar beberapa bahagian di tingkat bawah. Makcik terus bergegas keluar dari rumah kerana api semakin besar.
“Orang ramai pula membantu menyelamatkan suami yang kurang sihat. Selepas keluar rumah, baru makcik teringat anak sedang tidur di tingkat atas. Makcik terus masuk semula ke dalam rumah untuk kejutkan dia,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.
Sharipah berkata, beliau nekad masuk semula sebanyak tiga kali sambil mengetuk pintu bilik anaknya yang berkunci dari dalam, namun lelaki itu tidak memberi sebarang tindak balas.
“Kali pertama dan kedua makcik masih boleh masuk lagi sambil memanggil dia berkali-kali. Makcik kemudian cuba kali ketiga tetapi tidak dapat kerana api sudah terlalu besar dan bahangnya sangat kuat.
“Apabila bomba tiba, makcik terus beritahu yang anak berada di tingkat atas,” katanya.
Beliau berkata, Abd Latif adalah anak sulong daripada empat beradik dan berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam, selain sudah lama tidak keluar rumah.
Sejak beberapa hari lalu, katanya, lelaki itu kurang berselera makan dan lebih banyak berdiam diri dan berkurung dalam bilik.
“Semua barangan dalam rumah termasuk pakaian, perabot dan barangan elektrik hangus, termasuk dokumen pengenalan suami,” katanya.
Sementara itu, adik mangsa, Asiah, 40, berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada adik lelakinya memaklumkan bahawa rumah ibu bapa mereka terbakar, sebelum bergegas ke lokasi dari rumahnya di Kampung Setar Kanan, Marang.
“Ketika itu (menerima panggilan telefon), saya sudah tidur. Adik telefon beritahu rumah ibu terbakar sebelum bergegas ke sana bersama suami.
“Sepanjang perjalanan, saya berharap abang, emak dan ayah selamat kerana hanya mereka bertiga tinggal di situ. Namun apabila sampai di sana, saya terkejut diberitahu bahawa abang terperangkap di dalam bilik tidurnya,” katanya.
Asiah berkata, kali terakhir beliau bertemu mangsa ialah kira-kira sebulan lalu ketika membawa lelaki itu mendapatkan rawatan.
“Ketika itu, abang beritahu bahawa dia berasa tidak sedap hati, macam ada orang memanggil dia. Jadi, saya dan suami membawa dia mendapatkan rawatan.
“Dia juga berhasrat hendak membuat cermin mata baharu kerana penglihatannya semakin kabur, tetapi hajat itu tidak kesampaian. Tidak disangka itulah pertemuan terakhir kami,” katanya.
Sementara itu, Abd Rashid berkata, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi walaupun sedih dengan kehilangan anak sulung.
Dalam kejadian itu, rumah yang dibina Abd Rashid sejak lebih 30 tahun lalu musnah dijilat api menyebabkan pasangan suami isteri itu kini tinggal sehelai sepinggang.
Kredit sumber: Berita Harian
