SANDAKAN, 3 Ogos 2026 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya membongkar kegiatan disyaki penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran menerusi satu operasi penguatkuasaan di kawasan tepi Sungai Siguntur, Sibugal Besar, Sandakan, petang tadi.
Serbuan yang dijalankan kira-kira jam 4.30 petang itu menyaksikan tiga individu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti penyeludupan barang kawalan berkenaan.
Dalam operasi tersebut, pasukan PPM turut merampas sebuah bot, sebuah lori jenis Isuzu tiga tan serta sejumlah besar minyak masak bersubsidi daripada pelbagai jenama.
Kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai lebih RM160,469.00.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rangkaian serta pihak yang terlibat dalam kegiatan tersebut.
Menurut rekod PPM Wilayah 4 Sabah, sebanyak 95 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 telah direkodkan sepanjang tempoh Januari hingga 3 Ogos 2026.
Jumlah itu turut melibatkan seramai 91 tangkapan dengan keseluruhan nilai rampasan melebihi RM25 juta.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, YDH ACP Ahmad Amri bin Abd Rahman berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan aktiviti risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan ketirisan serta penyeludupan barangan kawalan bersubsidi.
Beliau berkata, usaha berterusan itu penting bagi memastikan barangan bersubsidi yang diperuntukkan untuk kegunaan rakyat tidak disalahgunakan atau dibawa keluar dari negara secara haram.
PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan komitmennya untuk memperkukuh tindakan penguatkuasaan dalam membanteras segala bentuk penyeludupan dan ketirisan demi melindungi kepentingan negara serta memastikan pengurusan bekalan bersubsidi terus terpelihara. – DAKWAT RAKYAT POST
