BANGKOK: Pihak berkuasa di Thailand kini berhak membuka bagasi berdaftar milik penumpang udara atas faktor keselamatan tanpa perlu mendapatkan kebenaran pemiliknya bermula 16 Oktober ini.
Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) menegaskan bahawa proses pemeriksaan berkenaan akan dilaksanakan mengikut garis panduan yang ketat.
Portal berita tempatan, Bangkok Post melaporkan, pegawai CAAT hanya akan membuka bagasi berdaftar yang hendak dimasukkan ke dalam ruang kargo pesawat sekiranya ia dikesan menerusi imbasan sinar-X dan disyaki mengandungi barang terlarang atau item yang boleh menjejaskan keselamatan penerbangan.
Bagasi yang mencurigakan itu akan dibuka di kawasan khusus yang ditetapkan.
Proses pembukaan berkenaan akan dirakam menerusi video dan semua bukti akan dikumpul sepanjang proses itu bagi membolehkan tindakan berkenaan diperiksa semula.
Pemilik bagasi pula akan dimaklumkan mengenai pemeriksaan berkenaan selepas proses itu selesai.
Sehubungan itu, CAAT mengesyorkan supaya penumpang menggunakan beg pakaian yang dilengkapi sistem kunci TSA yang diluluskan bagi membolehkan pegawai keselamatan membuka bagasi tanpa merosakkannya.
Agensi pengawal selia itu memaklumkan, amalan berkenaan kini menjadi standard biasa di beberapa negara termasuk Singapura, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) serta kebanyakan negara di Eropah dan Asia Barat.
Langkah itu juga berupaya mengelakkan kelewatan penerbangan kerana pegawai tidak perlu memanggil pemilik bagasi terlebih dahulu sebelum pembukaan dilakukan, kata CAAT.
Langkah baharu itu mula diumumkan pada Februari lalu bagi memberikan tempoh persediaan kepada pihak berkaitan, selain membolehkan penumpang menyemak status bagasi masing-masing sekiranya perlu.
Sebaik sahaja sistem pemeriksaan berkenaan dikuatkuasakan, penumpang yang mempunyai sebarang kemusykilan atau aduan boleh mengemukakannya menerusi portal aduan CAAT.
Kredit sumber: Agensi/Berita Harian/Disiarkan pada Ogos 6, 2026 @ 6:24pm
