MIRI: Sarawak mencipta sejarah apabila berjaya melaksanakan projek rintis penanaman padi perennial pertama di Malaysia, sekali gus membuka peluang baharu dalam meningkatkan pengeluaran beras menerusi pendekatan teknologi dan penyelidikan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan projek berkenaan membuktikan bahawa pendekatan saintifik mampu mengubah potensi tanah gambut yang sebelum ini dianggap mencabar untuk aktiviti pertanian.
“Teknologi padi perennial membolehkan tanaman tumbuh semula selepas penuaian tanpa perlu proses penanaman baharu, sekali gus berpotensi mengurangkan kos pengeluaran serta meningkatkan hasil tanaman.
“Ini merupakan satu kejayaan besar dalam pengeluaran padi menggunakan pendekatan saintifik. Dengan teknologi ini, kita dapat mengurangkan kos dan meningkatkan pengeluaran daripada kawasan tanaman yang sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penuaian Projek Perintis Padi Perennial di SK Kuala Baram 2, Miri dekat sini hari ini.
Abang Johari berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil kerjasama penyelidikan bersama Universiti Yunnan yang membangunkan teknologi penanaman padi perennial yang sesuai dengan keadaan tanah di Sarawak.
Katanya, projek rintis itu akan menjadi “makmal” penyelidikan bagi mengkaji kesesuaian padi perennial untuk diperluaskan ke kawasan lain termasuk Limbang, Lawas, Linga, Daro dan kawasan pesisir negeri.
“Pada mulanya saya sendiri tertanya-tanya sama ada perkara ini boleh dilakukan atau tidak. Tetapi selepas diuji, ternyata ia berjaya. Ini membuktikan teknologi mampu mengubah sektor pertanian kita,” tambahnya.
Beliau berkata, kejayaan itu turut membuka peluang kepada Sarawak untuk menjadi peneraju dalam pembangunan teknologi pertanian, selain memperkukuh usaha mencapai sekuriti makanan negeri.
Menurutnya, penggunaan teknologi seperti analisis data, kecerdasan buatan (AI), pemantauan cuaca serta pengurusan paras air akan menjadi elemen penting dalam memastikan tanaman padi lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
Abang Johari berkata, sekiranya teknologi ini dapat diperluaskan, Sarawak berpotensi meningkatkan pengeluaran beras tempatan sehingga mampu mengurangkan kebergantungan kepada import dan seterusnya meneroka peluang eksport ke rantau ASEAN.
“Dengan teknologi ini, kita boleh memenuhi keperluan domestik dan jika ada lebihan, mungkin Sarawak boleh menjadi seperti Thailand yang mengeksport beras ke rantau ini,” katanya.
Tambahnya, pembangunan industri padi juga perlu disokong dengan rantaian lengkap termasuk penyelidikan, pengeluaran, pemprosesan, pengilangan serta pemasaran bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati petani. – TVS
Kredit sumber: TV Sarawak/Disiarkan pada 6 Ogos 2026 2:27 PM
