Johor Bahru: Tiga rakan yang juga mekanik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini daripada dua pertuduhan mengedar ketamin dan methamphetamine, lima tahun lalu.
Hakim Kan Weng Hin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh iaitu Tarji Suwoto, 65; Rojeb Imarom, 56, dan Firdaus Hashim, 29.
Dalam hujahan penghakimannya, Weng Hin berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh yang menunjukkan dadah dalam rumah, selain fakta dikemukakan tidak menunjukkan tertuduh membawa dadah yang terbabit.
“Mengenai isu kereta yang mana mengikut keterangan saksi, tertuduh pertama dan kedua telah turun daripada kereta Toyota Hilux tanpa membawa apa-apa barang seperti barang kes yang dijumpai dalam rumah.
“Pihak pendakwaan juga tidak dapat membuktikan siapa yang menunjukkan dadah itu. Tidak boleh tiga-tiga mereka yang tunjukkan, mesti seseorang di sana.
“Saya fikir semua ini menimbulkan keraguan yang cukup dan pendakwaan gagal buktikan kes prima facie terhadap tiga tertuduh, oleh itu, mereka dilepas dan dibebaskan,” katanya.
Berdasarkan dua kertas pertuduhan, ketiga-tiga lelaki warga tempatan itu didakwa bersama-sama mengedar 4,207.66 gram ketamin dan 369.14 gram methamphetamine di sebuah rumah di Kampung Teluk Ramunia, Sungai Rengit, Pengerang, Kota Tinggi, kira-kira 11 pagi, 27 Jun 2021.
Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dipenjara seumur hidup dan sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abdul Kohar mengemukakan lima saksi pendakwaan sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula 21 Ogos 2024 sehingga 13 Mei lalu.
Peguam John Fernandez mewakili Tarji, Rojeb diwakili peguam Selvanteran Segaran, manakala peguam Lydiana Mansor mewakili Firdaus.
Kredit sumber: Harian Metro/Disiarkan pada: August 6, 2026 @ 1:52pm
