Kuala Lumpur: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah memproses pengeluaran tiga sijil kelahiran untuk tiga beradik daripada enam beradik yang kisah mereka tidak boleh bersekolah akibat masalah dokumen pengenalan diri didedahkan Harian Metro, baru-baru ini.
Menurut JPN, keluarga enam beradik terbabit sudah dimaklumkan mengenai pengeluaran tiga sijil kelahiran itu menerusi surat kelulusan yang diposkan ke alamat penjaga selain dihubungi sebanyak dua kali pada Julai lalu bagi urusan pengambilan dokumen berkenaan.
“Sehingga kini tiga sijil kelahiran masih belum dituntut, manakala tiga lagi berada dalam simpanan ibu dan anak. JPN mengesahkan status keenam-enam kanak-kanak itu direkodkan sebagai bukan warganegara.
“Penentuan taraf kewarganegaraan kanak-kanak itu adalah berdasarkan taraf ibu memandangkan perkahwinan ibu dan bapanya tidak teratur atau tidak didaftarkan. Bagi perkahwinan yang teratur mengikut undang-undang Malaysia, kanak-kanak beragama Islam boleh mengikut taraf bapa sekiranya bapa adalah warganegara Malaysia dan anak dilahirkan sekurang-kurangnya enam bulan dari tarikh perkahwinan,” katanya kepada Harian Metro.
Bagaimanapun, katanya, pemenuhan syarat hanya melayakkan permohonan dikemukakan dan tidak menjamin ia akan diluluskan kerana Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat tidak memberikan kewarganegaraan secara sewenang-wenangnya.
“Sekiranya bapa kandung sudah meninggal dunia, permohonan boleh dibuat oleh waris terdekat sebelah bapa yang berstatus warganegara Malaysia,” katanya.
Mengulas mengenai saluran permohonan kewarganegaraan, JPN berkata, bagi kes kanak-kanak tanpa kewarganegaraan, khususnya anak tidak sah taraf, permohonan boleh dibuat melalui kaedah pendaftaran di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan selagi berusia bawah 21 tahun dan memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 serta perundangan berkaitan.
“Tidak semua individu yang dilahirkan di Malaysia akan dianugerahkan kewarganegaraan secara automatik kerana taraf kewarganegaraan bergantung kepada status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa ketika kelahiran, selaras dengan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan.
“Isu perkahwinan ibu bapa yang tidak didaftarkan sememangnya antara faktor penting yang menyumbang kepada keadaan anak dilahirkan tanpa kewarganegaraan,” katanya.
Mengenai tindakan susulan terhadap enam kanak-kanak itu, JPN menjelaskan, pihaknya boleh memberi khidmat nasihat mengenai prosedur berkaitan selain membantu membuat rujukan atau semakan dengan agensi berkaitan.
“Bagi kes kanak-kanak ini, JPN sudah menghubungi pejabat kedutaan dan didapati memang tiada rekod,” katanya.
Harian Metro pada Jun lalu melaporkan secara eksklusif mengenai enam beradik berusia antara enam hingga 16 tahun yang tidak bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap.
Ibu mereka, Derce Jush, 37, yang juga warganegara Indonesia, berkahwin dengan lelaki rakyat Malaysia iaitu bapa kepada keenam-enam kanak-kanak itu.
Bagaimanapun, isu dokumen kelahiran yang tidak lengkap menyebabkan kanak-kanak berkenaan tidak mempunyai identiti warganegara, manakala bapa mereka meninggal dunia tahun lalu.
Laporan itu turut mendedahkan ada antara kanak-kanak terbabit terpaksa menjual kuih bagi membantu menyara kehidupan harian keluarga.
Susulan laporan Harian Metro, beberapa agensi termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), JPN, Lembaga Zakat Selangor (LZS), wakil Ahli Parlimen Hulu Langat dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat mengadakan lawatan ke kediaman keluarga itu bagi menyelaras bantuan serta tindakan susulan.
Kredit sumber: Harian Metro/Disiarkan pada 5 Ogos 2026 @ 4:06pm
