TUARAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran berjaya membongkar kegiatan penyimpanan dan pengedaran serbuk ketum dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Tuaran, di sini.
Operasi yang dilaksanakan kira-kira jam 6 pagi, 6 Ogos lalu, itu hasil maklumat risikan yang membawa kepada pemeriksaan terhadap sebuah premis serta sebuah lori yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah besar serbuk daun ketum yang sudah diproses dan dibungkus, dipercayai untuk tujuan pengedaran.
Keseluruhannya, pihak berkuasa merampas kira-kira 11,450 kilogram atau 11.45 tan serbuk ketum yang dianggarkan bernilai RM1.145 juta.
Jika mengambil kira nilai kenderaan yang turut disita, keseluruhan rampasan dalam operasi itu dianggarkan melebihi RM1.4 juta.
Operasi berkenaan turut membawa kepada penahanan empat individu bagi membantu siasatan.
Mereka terdiri daripada tiga lelaki berusia antara 23 hingga 46 tahun serta seorang wanita berusia 28 tahun.
Kesemua suspek yang ditahan menjalani ujian saringan awal dan keputusan mendapati mereka negatif daripada sebarang pengaruh dadah.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Siasatan lanjut sedang dijalankan dengan kerjasama JSJN Sabah bagi mengenal pasti rangkaian serta baki anggota sindiket yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut.
PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan usaha membanteras penyalahgunaan ketum akan terus dipergiatkan, termasuk menerusi pengukuhan risikan dan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain.
Langkah berkenaan penting bagi memastikan kegiatan penyimpanan, pengedaran dan penyalahgunaan bahan yang menyalahi undang-undang dapat dibendung secara menyeluruh demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan masyarakat. – DAKWAT RAKYAT POST
