Kuala Lumpur: Misteri di sebalik pencerobohan berulang kali vesel asing ke perairan negara akhirnya terungkai apabila siasatan mendapati timun laut atau gamat yang mendiami dasar laut negara kini menjadi buruan utama nelayan asing, khususnya dari Vietnam.
Pendedahan berdasarkan rekod operasi penguatkuasaan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menunjukkan kebanyakan vesel asing yang ditahan terutama di perairan Sabah bukan memburu ikan atau sotong seperti lazimnya dipercayai.
Sebaliknya nelayan asing ini muncul dengan misi khusus iaitu mengaut khazanah laut bernilai tinggi itu yang mampu dijual sehingga lebih AS$3,500 (RM15,000) sekilogram di pasaran antarabangsa.
Lebih membimbangkan, permintaan luar biasa terhadap gamat yang dianggap makanan eksklusif dan bahan perubatan tradisional di Vietnam dipercayai mendorong eksploitasi besar-besaran sehingga nelayan asing sanggup meredah ratusan batu nautika dan menceroboh sempadan perairan Malaysia.
DOF dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil semakan terhadap rekod tangkapan penguat kuasa mendapati kebanyakan vesel asing yang ditahan menggunakan tangguk tunda besi, iaitu peralatan khas yang direka khusus untuk mengaut timun laut di dasar laut.
Penggunaan peralatan itu dianggap petunjuk jelas bahawa aktiviti pencerobohan itu bukan bertujuan menangkap ikan secara umum sebaliknya memfokuskan kepada spesies gamat yang mempunyai nilai komersial tinggi.
“Berdasarkan kes yang direkodkan, kebanyakan kru yang ditahan adalah warga Vietnam, sekali gus mengukuhkan petunjuk bahawa sumber marin berharga itu menjadi antara sasaran utama kumpulan nelayan asing terbabit.
“Walaupun musim mencandat sotong di Pantai Timur Semenanjung Malaysia berlaku antara Mac hingga Julai setiap tahun, semakan terhadap rekod rasmi tidak menunjukkan bukti jelas bahawa vesel asing menyasarkan spesies tertentu mengikut musim,” katanya.
Sebaliknya, corak pencerobohan lebih dipengaruhi faktor keuntungan dan permintaan pasaran terhadap spesies bernilai tinggi.
“Di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan Sarawak, vesel asing lazimnya menggunakan pukat tunda manakala di Selat Melaka mereka dikesan menggunakan bubu dan pukat hanyut bagi menangkap pelbagai spesies marin.
“Namun situasi di Sabah berbeza apabila sebahagian besar kes pencerobohan membabitkan penggunaan tangguk tunda besi yang secara khusus digunakan untuk memburu timun laut.
“Pakar perikanan memberi amaran bahawa eksploitasi berlebihan terhadap gamat boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem marin kerana spesies itu memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan dasar laut,” katanya.
DOF berkata, aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia (IUU Fishing) yang didorong oleh permintaan tinggi terhadap gamat juga dibimbangi akan terus meningkat sekiranya penguatkuasaan di kawasan sempadan perairan tidak diperkukuhkan.
“Dengan nilai pasaran yang semakin melonjak dan sumber semula jadi yang semakin berkurangan di negara asal, perairan Malaysia kini dilihat sebagai antara ‘lubuk emas’ baharu yang menjadi buruan nelayan asing untuk mendapatkan khazanah laut bernilai tinggi itu.
Berdasarkan maklumat gamat atau dikenali dengan nama Hai sam dalam bahasa Vietnam mempunyai kedudukan ekonomi dan budaya sangat penting dalam kalangan masyarakat di negara itu.
Disebabkan permintaan tinggi dari pasaran tempatan dan eksport terutamanya ke China dan Hong Kong, populasi gamat liar semakin berkurangan.
Harga gamat di Vietnam sangat bergantung kepada spesies, kualiti rupa paras, saiz, dan sama ada ia dijual segar atau kering.
Gamat kering gred premium dijual pada harga VND 2,500,000 hingga VND 3,000,000 sekilogram (anggaran RM475 hingga RM570 sekilogram) dan boleh meningkat berkali ganda apabila dieksport.
Di Vietnam, gamat dianggap sebagai salah satu hidangan eksklusif yang setaraf dengan sarang burung layang-layang dan sirip yu.
Kredit sumber: Harian Metro
