KOTA KINABALU: Seorang pemandu bas pelancong ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah apabila bertindak merempuh sebuah kereta ketika cuba meloloskan diri daripada polis di Jalan Penampang Baru, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang memandu sebuah kereta turut bertindak agresif dan bergelut dengan anggota polis sebelum berjaya diberkas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah selepas mengesan kenderaan terbabit yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Katanya, ketika polis cuba menahan kenderaan berkenaan, suspek bertindak merempuh sebuah kereta yang menghalang laluannya dalam usaha melarikan diri.
“Selepas kenderaan berjaya ditahan, suspek sekali lagi cuba melarikan diri dan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis.
“Pasukan serbuan kemudian menggunakan kekerasan minimum sebelum berjaya menahan suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan sebuah bekas lutsinar mengandungi paket plastik disyaki dadah jenis ekstasi.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 11 paket plastik berwarna perak bertulisan ‘PUMPKINS’ dan berlogo labu, mengandungi serbuk disyaki ekstasi seberat keseluruhan 370.74 gram.
“Polis turut merampas sebuah kereta dan telefon bimbit untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, suspek bersama semua barang rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah berkenaan serta mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Kredit sumber: Utusan Borneo Online
