Ketua Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Dino Nurwahyudin memalu gong simbolik perasmian majlis tersebut.
TAWAU: Laluan penerbangan Tawau-Tarakan, Indonesia yang terhenti sejak pandemik COVID-19 bakal diusahakan untuk dihidupkan semula bagi melonjakkan sektor pelancongan, selain merancakkan hubungan ekonomi dan masyarakat antara Sabah dengan Kalimantan.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata, kerajaan negeri sudah mengadakan rundingan dengan beberapa syarikat penerbangan bagi merealisasikan semula laluan berkenaan.
Menurutnya, laluan udara itu amat penting kerana perjalanan menggunakan pengangkutan laut antara Tawau dan Tarakan mengambil masa antara empat hingga lima jam, sedangkan penerbangan hanya memerlukan tempoh kurang sejam.
“Saya sangat bersetuju dan sebenarnya kita sudah mengadakan engagement bersama AirAsia. Pada mulanya mereka bersetuju sebelum berlakunya krisis global dan buat masa ini masih lagi ditangguhkan.
“Kita akan follow up perkara ini jika semuanya berada dalam keadaan baik dan insya-Allah kita akan berusaha bersama Pak Konsul untuk menarik pemain syarikat penerbangan lain seperti Lion Air dari Indonesia dan Batik Air dari Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam Program Wonderful Indonesia Festival Konsulat Republik Indonesia 2026 di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, malam tadi.
Dr Andi berkata, kerajaan negeri turut melihat potensi membuka laluan penerbangan terus dari Kota Kinabalu ke Makassar, Indonesia susulan permintaan yang semakin ada dalam kalangan penduduk Sabah.
“Demand itu ada, cuma perkara ini perlu dilakukan feasibility study daripada pihak airline,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan hubungan udara antara Sabah dan Indonesia bukan sekadar memendekkan masa perjalanan, malah mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi kedua-dua wilayah.
Katanya, kira-kira 60,000 pelancong Indonesia direkodkan berkunjung ke Sabah bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, namun jumlah berkenaan masih belum menggambarkan potensi sebenar pasaran Indonesia.
“Kalau dilihat, jumlah itu masih kecil kerana kita ini bersebelahan saja. Jadi sepatutnya jumlah itu lebih banyak.
“Begitu juga pelancong Malaysia ke Indonesia sepatutnya jumlah itu lebih besar kerana kita perlu mempelajari budaya bersama,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Dr Andi berkata, kerajaan negeri turut merancang menganjurkan Borneo Festival, iaitu festival kebudayaan peringkat Borneo sempena Visit Sabah 2027.
Katanya, penganjuran festival itu diharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang kebudayaan dan pelancongan antara Sabah dengan wilayah lain di Borneo, termasuk Indonesia.
“Kita harapkan Visit Sabah 2027 itu impaknya lebih tinggi kepada pelancongan dan juga ekonomi setempat dengan kerjasama bersama Konsulat Republik Indonesia di Tawau dan Kota Kinabalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Dino Nurwahyudin berkata, pihaknya turut berusaha mengembalikan laluan penerbangan Tawau-Tarakan bagi memudahkan pergerakan masyarakat kedua-dua wilayah.
Menurutnya, kewujudan penerbangan terus mampu menjimatkan masa perjalanan berbanding menggunakan pengangkutan laut.
“Kalau menggunakan kapal laut, perjalanan mengambil masa empat hingga lima jam, tetapi dengan pesawat mungkin hanya setengah jam dan tidak sampai satu jam.
“Dengan itu mungkin akan lebih memudahkan hubungan masyarakat Sabah dengan masyarakat Indonesia khususnya di wilayah Kalimantan,” katanya.
Terdahulu, MASwings menamatkan operasi laluan antarabangsa Tawau-Tarakan berkuat kuasa 30 Oktober 2022 selepas penerbangan itu ditangguhkan sejak 22 Mac 2020 susulan penularan COVID-19.
Ketika itu, Ketua Pegawai Operasi MASwings, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, penerbangan tiga kali seminggu berkenaan dihentikan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan antarabangsa bagi membendung penularan wabak berkenaan.
