NUNUKAN – Keluhan serius disuarakan oleh para pengusaha kapal penumpang laluan Nunukan–Tawau dalam Mesyuarat Dengar Pendapat (RDP) yang diadakan oleh Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Nunukan pada Rabu.
Wakil pemilik kapal daripada Labuan Express, Purnama Express dan Francis Express, Andi Darwin, mendakwa para pengusaha Indonesia berasa “terjajah” akibat dominasi serta amalan yang didakwa tidak adil oleh pengurusan Pelabuhan Tawau, Malaysia.
Dalam forum itu, Darwin mendedahkan pelbagai isu yang menurutnya telah berlaku sejak 2015.
Beliau berkata pihak pengurusan Pelabuhan Tawau menguasai pengurusan dana tiket kapal sehingga melakukan potongan secara sebelah pihak yang membebankan pengusaha kapal dari Nunukan.
“Sepatutnya ejen kapal mengurus sendiri penjualan tiket dan dananya. Namun di Tawau semuanya diambil alih oleh pengurusan pelabuhan. Malah terdapat potongan tertentu yang tidak jelas asas perundangannya,” katanya.
Beliau turut mendakwa wujud amalan pungutan liar serta intimidasi terhadap pemilik kapal yang cuba membantah dasar tersebut. Menurutnya, selama bertahun tahun beliau berjuang bersendirian kerana pengusaha lain tidak sanggup berdepan tekanan.
Darwin memberi contoh caj tiket masuk sebanyak RM20 bagi penumpang dewasa dan RM15 bagi kanak kanak untuk laluan Nunukan–Tawau. Caj itu didakwa tidak mempunyai asas undang undang dan tidak dinyatakan dalam invois rasmi.
Selain itu, beliau turut mendedahkan ketidakseimbangan dalam pembahagian hasil jualan tiket. Daripada tiket berharga RM150 yang dijual di Tawau, pemilik kapal hanya menerima kira kira RM75 manakala selebihnya diambil oleh pihak pengurusan pelabuhan.
“Pendapatan pemilik kapal jauh lebih kecil kerana dipotong berkali kali. Keadaan ini sangat merugikan kami,” tegasnya.
Pengerusi Komisi I DPRD Nunukan, Andi Muliyono, yang mempengerusikan mesyuarat itu menyifatkan keadaan tersebut amat membimbangkan memandangkan Nunukan sebagai wilayah sempadan masih bergantung kepada Malaysia termasuk dalam aktiviti perdagangan dan mobiliti masyarakat.
“Kami melihat terdapat indikasi penyalahgunaan kuasa oleh pemilik Pelabuhan Tawau. Ada usaha untuk mematikan pengusaha kami bagi digantikan dengan pengusaha baharu sehingga berlaku monopoli dan pungutan liar seperti ini,” katanya.
Beliau meminta Kantor Kesyahbandaran dan Otoritas Pelabuhan (KSOP) Nunukan mengambil tindakan tegas termasuk mempertimbangkan larangan terhadap kapal berkaitan memasuki Nunukan sekiranya dakwaan pungutan liar itu terbukti benar.
“Jika benar ini pungutan liar, tiada asas undang undang dan tidak termasuk dalam peraturan Kerajaan Malaysia, ia mencemarkan hubungan baik Presiden Prabowo dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahli DPRD Nunukan, Hamsing, mendesak agar isu tersebut segera dibawa ke Kementerian Perhubungan dan Kementerian Luar Negeri Indonesia untuk diselaraskan bersama Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau serta dibincangkan dengan Kerajaan Malaysia.
“Ini sudah berlarutan selama 11 tahun dan perlu ada tindakan tegas. Saya melihat ini sebagai satu bentuk penjajahan dan ia tidak boleh dibenarkan,” tegasnya.
Bagaimanapun, Hamsing meminta para pengusaha kapal supaya menahan diri dan tidak melakukan mogok operasi sementara menunggu tindakan kerajaan.
“Biarkan kami bergerak dahulu kerana ini melibatkan isu negara. Kecuali jika kes ini terus berlarutan, silakan lakukan mogok supaya lebih didengari dan mendapat perhatian antarabangsa,” katanya- SATU BORNEO
