LAHAD DATU: Sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) berkonsepkan Tahfiz Model Ulul Albab bakal dibangunkan di daerah ini, sekali gus memberi lebih banyak peluang kepada pelajar mendapatkan pendidikan agama dan akademik secara seiring.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Yusof Apdal berkata, tapak bagi cadangan pembinaan sekolah berkenaan telah dikenal pasti dan projek kini menunggu proses pelaksanaan.
Menurutnya, beliau dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan mengenai cadangan pembinaan SMKA di Lahad Datu dan tapak sekolah itu dikenal pasti di Jalan Silam.
“Saya telah dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan mengenai pembinaan SMKA di Lahad Datu dan tapaknya sudah dikenal pasti. Jika tiada isu atau perubahan, sekolah ini akan dibina di Jalan Silam.
“Kementerian telah memberikan kelulusan secara prinsip, manakala pihak berkuasa kini menunggu proses pelaksanaan serta peruntukan penuh bagi projek berkenaan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan bangunan baharu Madrasah Al-Fallah di Kampung Wawasan, di sini, malam Jumaat.
Mohd Yusof berkata, penubuhan SMKA berkenaan akan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar di daerah ini untuk mengikuti pendidikan agama di samping pendidikan akademik arus perdana.
Katanya, pendekatan itu turut membantu melahirkan generasi Huffaz profesional yang bukan sahaja cemerlang dalam hafazan al-Quran, malah mempunyai keupayaan dalam bidang lain termasuk matematik, sains dan teknologi.
Sementara itu, Mohd Yusof turut memuji usaha masyarakat setempat menubuhkan Madrasah Al-Fallah di Kampung Wawasan menerusi sumbangan penduduk serta individu.
Beliau menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai usaha bermakna dalam menyediakan pendidikan agama, membentuk sahsiah serta menyokong pendidikan kanak-kanak di komuniti setempat.
“Usaha menubuhkan sekolah agama melalui inisiatif masyarakat seperti ini merupakan sesuatu yang perlu kita galakkan,” katanya.
Beliau berkata, madrasah berkenaan berpotensi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar dan melengkapi usaha memperluaskan akses pendidikan agama di daerah Lahad Datu.
Terdahulu, Pengerusi Madrasah Al-Fallah, Saidin Saparuddin berkata, bangunan berkenaan kini menempatkan lebih 60 pelajar.
Katanya, bangunan itu dibina menerusi usaha masyarakat setempat bagi mengurangkan kos, selain menyediakan ruang yang lebih kondusif untuk kanak-kanak mempelajari al-Quran dan Fardu Ain.
