KOTA KINABALU: Parti Warisan menegaskan kepentingan dan keperluan Sabah akan terus menjadi keutamaan parti itu dalam menentukan sebarang bentuk kerjasama politik menjelang pilihan raya.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sebarang kerjasama dengan parti lain perlu memastikan suara dan kepentingan Sabah tidak terpinggir atau tenggelam.
Menurutnya, perbincangan mengenai kerjasama politik merupakan perkara biasa dalam politik, termasuk usaha mencari rakan dan membentuk gabungan, namun kepentingan Sabah perlu diletakkan di hadapan.
“Keutamaan kita, keperluan kita… saya tidak mahu nanti corak suara Sabah ini tenggelam oleh kerana kerjasama dengan parti yang ada di sini,” katanya.
Shafie berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Parti Warisan di Kota Kinabalu, hari ini.
Sementara itu, beliau menegaskan kerjasama politik tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan jumlah kerusi atau kekuatan angka semata-mata.
Sebaliknya, katanya, sebarang persetujuan yang dicapai perlu mempunyai garis yang jelas, khususnya berkaitan perkara yang telah dipersetujui serta janji yang dibuat kepada rakyat Sabah.
Menurut Shafie, kepentingan rakyat bukan hanya merangkumi aspek pertumbuhan ekonomi, tetapi turut melibatkan perpaduan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.
“Bukan soal nombor. Ada yang dapat satu (kerusi) tetapi dapat menteri, yang lain dapat itu dan ini. Itu bukan perkara utama.
“Apa yang penting, mesti ada garis merah. Apa yang telah dipersetujui dan apa yang telah kita janjikan serta nyatakan di sini, mesti ada kejelasan mengenai hala tuju kita.
“Jangan berdolak-dalik. Saya tidak mahu nanti seperti Perjanjian 1963, sudah 60 tahun tetapi sampai sekarang masih begitu,” katanya.
Shafie berkata, Warisan akan memastikan sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik tidak mengorbankan kepentingan serta hak Sabah, sebaliknya menjamin suara negeri itu terus diberi perhatian dalam menentukan hala tuju politik negara.
