TANJONG MALIM: Masjid Al-Hidayah, Bandar Behrang 2020 dengan kerjasama Tabung Haji Negeri Perak akan mengadakan Tabung Haji Open Day 2026 yang akan berlangsung pada 14 November 2026 (Sabtu) dari pukul 7.30 pagi hingga 2.00 petang.
Pengerusi Masjid Al-Hidayah, Kamarul Beharim Lasa berkata ini adalah program julung kalinya masjid berkenaan berkolaborasi bersama Tabung Haji Negeri Perak.
Beliau berkata penduduk setempat terutamanya Daerah Muallim serta orang ramai yang berkelapangan berpeluang memeriahkan majlis dan dijemput hadir.
Katanya antara aktiviti menarik yang bakal diadakan termasuklah Solat Hajat, Bacaan Yassin, dan Motivasi untuk calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Fun Run, Jualan Rahmah, Derma Darah, Pemeriksaan Kesihatan, Pertandingan Azan, serta Pertandingan Gubahan.
Kamarul Beharim berkata sebanyak lebih 15 agensi kerajaan dan swasta akan mengadakan pameran, antaranya Tabung Haji Negeri Perak, KWSP, Majlis Daerah Tanjong Malim, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Takaful, dan banyak lagi.
Beliau berkata Masjid Al-Hidayah yang terkenal dengan panggilan “Masjid Biru” dan terletak di tepi jalan Tanjung Malim ke Slim River sentiasa aktif melaksanakan pelbagai program secara kolaborasi sebelum ini demi manfaat komuniti setempat termasuklah Jabatan Agama Islam Perak, bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Jabatan Perpaduan Negeri Perak, Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) serta Bank Rakyat.
“Kami mengalu-alukan mana-mana institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta swasta untuk menjayakan program di Masjid Al-Hidayah yang indah dan selesa ini,” katanya.
Pengurus Tabung Haji Cawangan Tanjung Malim, Wan Salina Ahasan berkata sebelum ini program seumpanya diadakan di Ipoh.
“Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan Masjid Al-Hidayah yang sudi bekerjasama dengan Tabung Haji Perak menjayakan program berskala besar dan menarik ini,” katanya- DAKWAT RAKYAT POST.
