KUNAK: Enam lelaki ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) selepas disyaki berpakaian atau berpenampilan menyerupai wanita dalam satu operasi penguatkuasaan di daerah ini, hari ini.
Kesemua individu terbabit ditahan menerusi Operasi Penguatkuasaan Seksyen 92 yang dijalankan JHEAINS Daerah Kunak bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.
Menurut kenyataan JHEAINS Daerah Kunak, operasi itu dilaksanakan bagi mengesan individu yang disyaki melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang syariah berkaitan penampilan lelaki menyerupai wanita atau sebaliknya.
Kesemua individu yang ditahan kemudian dibawa ke Pejabat JHEAINS Daerah Kunak untuk pemeriksaan, dokumentasi serta tindakan lanjut.
Selain tindakan penguatkuasaan, mereka turut diberikan khidmat kaunseling dan nasihat keagamaan sebagai pendekatan bimbingan serta meningkatkan kesedaran terhadap pematuhan undang-undang syariah.
JHEAINS Daerah Kunak menegaskan usaha penguatkuasaan itu turut disertai pendekatan pendidikan dan bimbingan agama selaras dengan prinsip jabatan berkenaan, iaitu ‘Mencegah Kemungkaran, Memelihara Kesejahteraan Ummah’.-DAKWAT RAKYAT POST
