KUALA LUMPUR – Sebarang persefahaman antara UMNO dan Pas yang mungkin berkesan di Semenanjung tidak semestinya sesuai diterapkan di Sabah.
Malah, menurut Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak, persefahaman itu boleh memberi kesan sebaliknya jika dilihat sebagai formula politik yang terlalu berpusatkan Semenanjung.
Menurut bekas Ketua Menteri Sabah itu, UMNO Sabah seharusnya dilihat sebagai sebuah parti nasional yang memahami realiti negeri itu dan bersedia bekerjasama dengan parti-parti tempatan, khususnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Formulanya perlu jelas: kestabilan politik, pembangunan, hak-hak Sabah dan kepentingan Orang Sabah.
“Kita adalah satu negara, tetapi tidak semestinya memerlukan satu formula politik dan pilihan raya yang sama di setiap negeri,” kata beliau menerusi Facebooknya hari ini.
Tambahnya, realiti politik di Sabah dan Sarawak adalah berbeza dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu menunjukkan perkara itu dengan jelas.
Ujarnya, pada PRN Sabah itu, GRS memenangi 29 daripada 73 kerusi, manakala Warisan memperoleh 25 kerusi.
Secara keseluruhan, tambahnya, dua kekuatan politik berteraskan Sabah itu menguasai 54 kerusi iaitu hampir tiga perempat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“BN pula hanya memenangi enam kerusi, PN satu kerusi dan PH juga mengalami kemerosotan besar dengan hanya memenangi satu daripada 20 kerusi yang ditandingi.
“Ini menunjukkan bahawa sentimen kenegerian, autonomi, pembangunan dan hak-hak Sabah semakin penting dalam menentukan pilihan pengundi,” katanya.
Tambah beliau, Sarawak pula memberikan gambaran yang lebih jelas yang mana GPS berjaya mengukuhkan kedudukannya melalui pendekatan politik yang berteraskan kepentingan Sarawak, sementara UMNO tidak pernah bertapak di negeri itu.
Kredit sumber: MalaysiaGazette
