KUALA LUMPUR: Seramai 1,043 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen dalam operasi penguatkuasaan besar-besaran di seluruh negara yang dijalankan selama dua hari sejak kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu membabitkan pemeriksaan terhadap 3,307 warga asing dengan individu yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Kalau ikut statistik daripada semalam dan hari ini, seramai 3,307 orang yang kita periksa dan daripada jumlah itu kita tahan keseluruhannya ialah 1,043 orang di seluruh negara.
“Tiga kewarganegaraan utama yang ditahan adalah Bangladesh (370 individu), Indonesia (328) dan Myanmar (183), manakala majoriti tahanan terdiri daripada lelaki berumur antara 17 hingga 59 tahun.
“Fokus kita untuk kali ini ialah untuk kawasan-kawasan penempatan warga asing yang kebanyakannya daripada aduan orang awam dan maklumat risikan,” katanya pada sidang media ketika Op Sasar di Apartment Suteramas, di sini, semalam.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
Katanya, imigresen turut mengeluarkan 45 saman saksi kepada warga Malaysia sepanjang operasi berkenaan bagi membantu siasatan, termasuk terhadap pemilik rumah yang disyaki melindungi warga asing tanpa dokumen sah.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihaknya kini secara purata melaksanakan lebih lima hingga enam operasi setiap hari di seluruh negara susulan peningkatan aduan rakyat berhubung kehadiran warga asing.
“Kalau ikut data kita, secara purata di seluruh negara, lebih daripada lima hingga enam operasi dilaksanakan setiap hari,” katanya.
Sementara itu, Zakaria berkata, lebih 31,000 warga asing sudah dihantar pulang sepanjang tahun ini, manakala kira-kira 28,000 warga asing dimasukkan ke depot tahanan setakat Julai ini.
“Sekarang ini kita masih lagi melaksanakan program pengampunan iaitu Program Repatriasi Migran.
“Mereka secara sukarela boleh datang untuk serah diri dan bayar kompaun RM500 dan kita akan hantar mereka boleh pulang dengan selamat,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi mengurangkan isu PATI dan membendung kehadiran warga asing yang berada di negara ini tanpa dokumen sah.
Kredit sumber: Berita Harian
