PITAS: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menggagalkan kegiatan disyaki penyeludupan petrol bersubsidi ke negara jiran dalam satu operasi di kawasan tepi sungai Kampung Mapan-Mapan, di sini, awal pagi kelmarin.
Operasi yang dijalankan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia antara 36 hingga 39 tahun yang dipercayai sedang memindahkan petrol bersubsidi ke dalam bot di kawasan muara sungai berkenaan.
Pemeriksaan dan tindakan pasukan operasi menemukan kira-kira 5,000 liter petrol bersubsidi yang dipercayai untuk diseludup keluar negara.
Turut dirampas sebanyak 38 tong drum, tiga bot kayu termasuk enjin serta pelbagai peralatan berkaitan bot.
Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM100,000.
Kesemua tangkapan dan rampasan kini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam perkembangan berkaitan, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan sebanyak 100 kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 92 tangkapan telah dibuat dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM25.2 juta.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, YDH ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan menyeleweng atau menyalahgunakan barangan bersubsidi yang diperuntukkan untuk kegunaan rakyat.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi mengesan serta membanteras kegiatan ketirisan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi, khususnya membabitkan usaha membawa keluar bekalan berkenaan dari negara ini.
PPM Wilayah 4 Sabah turut memberi jaminan akan memperkukuh risikan serta operasi di kawasan berisiko bagi memastikan kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan dapat dibendung secara berterusan. – DAKWAT RAKYAT POST
