PETALING JAYA: Pakatan antara Warisan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) boleh menjadi pencabar serius kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU16, kata seorang penganalisis.
Bagaimanapun, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata pakatan tersebut tidak semestinya dapat menjamin kemenangan dalam pilihan raya.
Katanya, persefahaman pilihan raya antara tiga parti itu boleh menjadikan mereka ‘sangat kuat, tetapi tidak automatik jadi dominan’.
“Secara potensinya, ia merupakan idea yang sangat baik untuk ketiga-tiga parti, memandangkan masalah terbesar yang sering dihadapi parti-parti tempatan di Sabah ialah perpecahan, bukannya kekurangan sokongan,” katanya kepada FMT.
Pada Ahad, Presiden Warisan Shafie Apdal mendedahkan bahawa partinya, STAR dan KDM sudah mengadakan rundingan mengenai kemungkinan membentuk pakatan bagi PRU16.
Bagaimanapun, beliau berkata belum ada perjanjian dicapai, tetapi hak serta kepentingan Sabah akan menjadi asas kepada sebarang persetujuan yang bakal dicapai.
Warisan gagal menyerlah pada PRU15 2022, apabila hanya memenangi lapan daripada 17 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Namun, parti itu memenangi 25 kerusi pada PRN Sabah November lalu, hanya kurang empat kerusi berbanding GRS.
STAR memenangi dua kerusi, manakala KDM hanya memenangi satu kerusi.
GRS kemudiannya berjaya membentuk majoriti mudah dengan sokongan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) dan seorang wakil rakyat bebas, sekali gus membentuk kerajaan.
Awang Azman berkata secara keseluruhan, Warisan, STAR dan KDM sudah mempunyai 28 kerusi, hanya kurang satu kerusi berbanding GRS.
Namun, lebih penting ialah jumlah undi popular yang diperoleh. Warisan sahaja meraih 25.6% undi popular, mengatasi GRS yang memperoleh 25.4%.
“(Walaupun perbezaannya kelihatan kecil) apabila digabungkan dengan 6.5% daripada STAR dan 4.8% daripada KDM, mereka sudah mempunyai 36.9% undi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui undi tersebut tidak semestinya boleh dipindahkan secara blok antara ketiga-tiga parti, memandangkan mereka sebelum ini pernah meletakkan calon untuk bertanding antara satu sama lain di banyak kawasan.
Saling bergantung dari segi geografi dan politik
Awang Azman dan seorang lagi penganalisis, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah, bersetuju bahawa Warisan, STAR dan KDM boleh saling melengkapi dari segi politik dan geografi.
Kedua-duanya berpandangan bahawa Warisan mempunyai kekuatan di kawasan bandar dan separa bandar, di pantai timur serta di kawasan majoriti Bumiputera Islam.
Mereka berkata kemenangan STAR di Tambunan dan Bingkor, serta kemenangan KDM di Paginatan, menunjukkan pengaruh kuat kedua-dua parti tersebut di kawasan pedalaman dan kawasan majoriti Kadazan, Dusun dan Murut.
Bagaimanapun, Awang Azman berkata manfaat terbesar pakatan itu bukan semestinya terletak pada kemampuan STAR dan KDM, jika ada, untuk menyalurkan sejumlah besar undi tambahan kepada Warisan.
“Manfaatnya ialah mereka boleh menghalang penyokong agenda ‘Sabah First’ daripada berpecah kepada beberapa calon,” katanya.
Menurutnya, kerjasama STAR dan KDM dapat membantu Warisan menangani salah satu kelemahannya, iaitu menembusi kawasan pengundi Kadazan-Dusun-Murut, di mana tokoh tempatan dan rangkaian akar umbi masih memainkan peranan yang sangat penting.
Balas naratif
Walaupun pakatan antara ketiga-tiga parti itu kelihatan baik di atas kertas, realitinya mungkin berbeza.
Sebagai contoh, pertindihan kawasan yang ditandingi, khususnya di kawasan campuran dan kawasan majoriti Kadazan-Dusun-Murut, boleh menjadi isu yang sukar diselesaikan.
“(Di kawasan ini) STAR dan KDM bersaing secara langsung untuk mendapatkan pengundi yang sama,” kata Lee.
Beliau berkata ketiga-tiga parti turut mempunyai aspirasi politik yang berbeza, manakala ketegangan antara pemimpin serta persaingan mendapatkan kerusi di peringkat akar umbi boleh menjejaskan penyelarasan walaupun pemimpin tertinggi mencapai persetujuan.
Bagi Awang Azman, terdapat risiko apabila menganggap bahawa undi boleh dipindahkan secara automatik antara ketiga-tiga parti.
Beliau berkata pakatan itu masih memerlukan calon yang berwibawa. Persetujuan mengenai pembahagian kerusi juga perlu dicapai lebih awal, selain membentuk naratif bersama yang berteraskan hak Sabah di bawah MA63, hak 40% hasil, infrastruktur yang lebih baik serta suara yang lebih besar dalam proses membuat keputusan di peringkat Persekutuan.
GRS pula boleh berhujah bahawa ia merupakan gabungan berasaskan Sabah yang sedang mentadbir negeri dan oleh itu berada pada kedudukan terbaik untuk berunding dengan Putrajaya.
Sebaliknya, Warisan-STAR-KDM boleh membalas bahawa Sabah memerlukan blok Parlimen yang lebih kuat dan bebas, yang tidak terikat dengan hubungan bersama parti-parti di peringkat Persekutuan.
“Naratif itu boleh mendapat sambutan kerana pada PRN 2025 sendiri menunjukkan kekuatan politik berteraskan Sabah serta rasa tidak puas hati terhadap aturan politik tradisional yang melibatkan parti-parti nasional,” kata Awang Azman.
Taruhan terbaik GRS
Untuk meningkatkan peluang dalam pertembungan dengan pakatan Warisan-STAR-KDM, GRS mungkin perlu mengutamakan kemenangan berbanding cuba bertanding di semua kerusi.
Awang Azman berkata walaupun GRS perlu bersiap sedia untuk bertanding di semua 25 kerusi Parlimen, ia tidak seharusnya menutup ruang untuk bekerjasama dengan sekutu yang mungkin mempunyai kelebihan di beberapa kerusi marginal.
“Di kerusi yang GRS paling kuat, ia patut meletakkan calon. Tetapi di kawasan yang jentera sekutunya jauh lebih kuat, calon sekutu lebih dikenali atau mempunyai penyandang Ahli Parlimen, rundingan mungkin lebih masuk akal daripada mewujudkan satu lagi pertembungan banyak penjuru,” katanya.
Kredit sumber: Free Malaysia Today
