KUALA LUMPUR: Polis menahan 12 individu terbabit dalam kes samun berkumpulan dan menyamar sebagai anggota polis membabitkan seorang YouTuber warga Taiwan di Eko Cheras Residence, di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata pihaknya menerima laporan pada 1 Ogos lalu daripada seorang lelaki warga Jepun yang memaklumkan majikannya, seorang YouTuber warga Taiwan berusia 38 tahun dipukul dan disamun.
Beliau berkata, mangsa cedera dan kerugian dianggarkan lebih RM35,000.
“Siasatan mendapati motif kejadian dipercayai kerana suspek mengetahui mangsa mempunyai simpanan wang tunai dalam mata wang asing yang bernilai tinggi, sekali gus menjadi pencetus kepada jenayah berkenaan.
“Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur melancarkan operasi khas dan menahan 12 individu di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, semua yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita warga tempatan berusia antara 26 hingga 48 tahun.
“Daripada 12 suspek yang ditahan, tujuh dibebaskan dengan jaminan polis pada 7 Ogos lalu selepas keterangan mereka diambil, manakala lima lagi direman hingga 13 Ogos ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan,” katanya.
Katanya, polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
