KALABAKAN, 14 Ogos 2026 – Selepas menanti lebih empat dekad, Koperasi Pembangunan Murut Kalabakan Tawau Berhad (KPMKTB) kini secara rasmi mengurus operasi Ladang FELDA Kalabakan Tengah, dengan pengambilalihan itu dijangka memberi manfaat ekonomi kepada 235 anggota menerusi pendapatan bulanan dan agihan dividen tahunan.
Penyerahan rasmi pengurusan ladang berkenaan menjadi detik penting buat KPMKTB dalam usaha memperkukuh kedudukan ekonomi koperasi, selain memberi manfaat kepada anggota dan masyarakat setempat.
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah, Awg Ruslli Haji Mohammad berkata, pengambilalihan itu hadir bersama tanggungjawab besar untuk memastikan ladang berkenaan terus diurus dengan baik, produktif dan mampu memberikan hasil yang berterusan.
“Sudah 43 tahun dinanti dan hari ini koperasi menerima penyerahan ini. Amanat saya adalah supaya koperasi menjaga ladang ini supaya dapat mengeluarkan hasil yang baik dan akhirnya memberi pulangan kepada anggota serta koperasi.
“Ini bukan projek yang boleh dipandang ringan. Komitmen anggota lembaga pengarah perlu berada pada tahap tertinggi untuk memastikan pengurusan dan pemantauan ladang dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Rasmi Operasi Ladang FELDA Kalabakan Tengah kepada KPMKTB.
Ruslli turut menekankan kepentingan integriti dalam pengurusan, khususnya kerana operasi ladang terbabit membabitkan pengurusan kewangan dan aset dalam jumlah yang besar.
“Kita mahu koperasi diurus dengan integriti dan semangat semua anggota supaya kita dapat melahirkan kepimpinan yang baik serta membawa koperasi ke arah kemajuan,” katanya.
Katanya, SKM akan meneruskan bantuan, khidmat nasihat dan bimbingan kepada KPMKTB bagi membantu koperasi berkenaan mengendalikan operasi ladang secara teratur dan berkesan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ruslli berkata Sabah ketika ini mempunyai 2,047 koperasi dengan keanggotaan melebihi 380,000 orang.
Menurutnya, jumlah perolehan keseluruhan gerakan koperasi di negeri ini kini mencapai RM913 juta, dengan sasaran untuk menembusi angka RM1 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang.
Sementara itu, Pengerusi KPMKTB, Asfaliza Batan berkata, perjalanan selama 43 tahun untuk merealisasikan pengambilalihan ladang berkenaan bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan kesungguhan serta kerjasama semua pihak.
Katanya, amanah menguruskan ladang itu memerlukan pengorbanan dan kesepakatan dalam kalangan anggota lembaga bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara teliti serta bertanggungjawab.
“Kalau untuk diri saya sendiri, saya tahu saya tidak mampu. Tetapi dengan kerjasama semua anggota lembaga, sokongan dan bimbingan SKM serta kekuatan perpaduan dalam kalangan anggota, saya yakin operasi ladang ini pasti berjalan dengan baik,” katanya.
Asfaliza berkata KPMKTB komited memastikan pengurusan ladang dilaksanakan secara berkesan supaya mampu menghasilkan pendapatan yang stabil dan memberi manfaat kepada 235 anggota koperasi.
Menurutnya, antara manfaat yang disasarkan ialah pendapatan bulanan serta agihan dividen kepada anggota pada setiap tahun.
“Kita mahu pengurusan ladang ini bukan sahaja berjalan dengan baik, tetapi mampu memberi pulangan yang konsisten kepada anggota melalui pendapatan bulanan dan agihan dividen setiap tahun.
“Setiap keputusan perlu dibuat dengan berhati-hati kerana jika tersilap langkah, semua anggota lembaga turut terlibat,” katanya.
Pengambilalihan operasi Ladang FELDA Kalabakan Tengah itu sekali gus menjadi langkah baharu buat KPMKTB dalam memperluas kegiatan ekonomi koperasi, di samping memberi peluang kepada anggota menikmati manfaat daripada pengurusan aset dan aktiviti pertanian secara lebih tersusun. – DAKWAT RAKYAT POST
