SEMPORNA, 14 Ogos 2026 – Kerajaan disaran mempertimbangkan bantuan khas atau bentuk sokongan bersesuaian kepada guru yang bertugas di Pulau Bum Bum bagi membantu mengurangkan beban kos pengangkutan yang semakin meningkat.
Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Bajau Semporna, Datuk Abd Hajan Gurimbang berkata, guru yang ditempatkan di pulau berkenaan berdepan cabaran kos perjalanan yang lebih tinggi kerana perlu menggunakan pengangkutan air dan darat untuk ke sekolah.
Katanya, sebahagian besar guru terpaksa bergerak dari pekan Semporna menaiki bot sebelum meneruskan perjalanan menggunakan kenderaan darat ke sekolah masing-masing.
“Guru-guru ini berdepan komitmen yang besar kerana mereka perlu menggunakan bot dan seterusnya kenderaan darat untuk sampai ke sekolah.
“Apatah lagi dengan had pembelian subsidi bahan api dan peningkatan kos pengangkutan, perkara ini perlu diberi perhatian supaya tidak menjadi kekangan kepada mereka untuk terus mendidik anak-anak di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Graduasi Aspirasi Gemilang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bum Bum, di sini, semalam.
Abd Hajan berkata, keadaan geografi Pulau Bum Bum menyebabkan kos perjalanan guru menjadi antara perkara yang wajar diberi perhatian dalam usaha memastikan kebajikan dan keperluan tenaga pengajar di kawasan kepulauan terus terpelihara.
Menurutnya, kerajaan boleh meneliti mekanisme bantuan khas atau memperluaskan kemudahan sokongan yang sudah disediakan kepada guru bertugas di kawasan luar bandar dan kepulauan.
Katanya, langkah itu bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian guru, malah memberi sokongan kepada mereka untuk terus melaksanakan tanggungjawab mendidik generasi muda di kawasan berkenaan.
“Walaupun Pulau Bum Bum berada di kawasan luar bandar, guru-guru di sini menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memastikan pelajar mencapai kejayaan.
“Pencapaian pelajar hari ini membuktikan kesungguhan guru-guru yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi masa depan anak-anak pulau,” katanya.
Beliau berkata, pengorbanan guru di Pulau Bum Bum wajar dihargai kerana mereka bukan sahaja berdepan tuntutan tugas, malah perlu mengambil kira perjalanan yang melibatkan lebih daripada satu jenis pengangkutan untuk ke sekolah.
Tambahnya, terdapat dua sekolah menengah dan sembilan sekolah rendah di Pulau Bum Bum yang melibatkan kira-kira 450 guru.
Abd Hajan berharap isu kos pengangkutan guru di kawasan kepulauan dapat diberi perhatian sewajarnya supaya kebajikan golongan pendidik terbela dan usaha meningkatkan pencapaian pendidikan anak-anak di luar bandar dapat diteruskan. – DAKWAT RAKYAT POST
