KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menggempur kegiatan laga ayam serta perjudian haram di lapan daerah di Sabah menerusi Op Kandang Bersepadu, kelmarin, membabitkan jumlah rampasan dan sitaan dianggarkan bernilai lebih RM9.6 juta.
Dalam operasi selama 10 jam bermula jam 8 pagi hingga 6 petang itu, sebanyak 14 serbuan dilancarkan di sekitar Penampang, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Lahad Datu dan Kota Marudu.
Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nor Omar Sappi, berkata operasi bersepadu itu dilaksanakan bagi membanteras aktiviti laga ayam sabung, perjudian haram serta kegiatan lain yang menyalahi undang-undang.
Beliau berkata, seramai 128 pegawai dan anggota terbabit operasi itu, termasuk 86 daripada Briged Sabah PGA.
“Operasi turut disertai empat pegawai Kementerian Kesihatan (KKM), 22 pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), 14 pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dua pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.
“Hasil 14 serbuan yang dijalankan, seramai 16 lelaki berusia antara 31 hingga 70 tahun ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Nor Omar berkata, tangkapan membabitkan 13 rakyat tempatan dan tiga warga asing, manakala hasil semakan mendapati semua suspek itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan melalui operasi itu dianggarkan mencecah RM9.602 juta.
“Bahagian terbesar rampasan membabitkan ayam sabung dianggarkan bernilai RM8.935 juta, diikuti pelbagai peralatan bernilai RM650,470.
“Turut dirampas ialah seekor musang mati dianggarkan bernilai RM4,000, duri landak (RM11,540) dan sisik tenggiling (RM500),” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan Sabah 2015, Seksyen 21(1)(i) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, dan Seksyen 41(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.
Selain itu, katanya, tindakan turut diambil mengikut undang-undang kecil berkaitan pelesenan penggunaan premis bagi perdagangan, perniagaan, industri dan profesion.
Beliau berkata, semua tangkapan serta rampasan sudah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
kredit sumber: Berita Harian
