LAHAD DATU: Pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan berkaitan digesa mengambil tindakan segera terhadap sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa bertindak sebagai pihak ketiga menawarkan bantuan permohonan MyKAS serta mengeluarkan “Stateless Card”.
Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Lahad Datu, Mohd Ar Razee AbdulHam berkata, tindakan berkenaan perlu diberi perhatian bagi memastikan individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan lengkap tidak menjadi sasaran pihak yang mengambil kesempatan.
Beliau berkata, walaupun sebahagian individu terbabit tidak mempunyai dokumentasi lengkap, mereka tetap manusia yang memerlukan perhatian, sokongan dan bantuan sewajarnya.
“Walaupun mereka mungkin tidak mempunyai dokumentasi lengkap, mereka tetap manusia dan kita perlu memberi perhatian, sokongan serta bantuan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Ar Razee berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, terdapat individu tanpa dokumen lengkap yang didakwa diminta mendapatkan pinjaman daripada keluarga atau majikan bagi membayar sejumlah wang sehingga kira-kira RM3,500 untuk urusan berkaitan MyKAS.
Beliau berkata, perkara itu boleh memberi kesan kepada kehidupan dan pekerjaan individu terbabit sekiranya mereka terpaksa menanggung hutang untuk mendapatkan perkhidmatan yang sepatutnya hanya dilakukan melalui saluran rasmi.
“Ini berdasarkan pengalaman dan maklumat yang saya terima apabila ada pekerja menghubungi dan memaklumkan bahawa mereka meminjam wang daripada majikan untuk membuat urusan MyKAS, walaupun sudah dinasihatkan supaya berhati-hati,” katanya.
Menurutnya, apabila jumlah pinjaman semakin meningkat, keadaan itu berpotensi menjejaskan hubungan antara pekerja dan majikan, selain memberi tekanan kepada individu yang terbabit.
Beliau berkata, isu berkenaan juga perlu dilihat dari sudut keselamatan masyarakat kerana beban hutang yang ditanggung individu berkenaan boleh menimbulkan pelbagai masalah sekiranya tidak ditangani dengan baik.
“Bayangkan jika seseorang yang berpendapatan rendah terpaksa meminjam RM3,500, sudah tentu wang itu perlu dibayar semula dan keadaan ini boleh menjadi beban kepada mereka,” katanya.
Mohd Ar Razee berkata, tekanan kewangan yang berpanjangan juga berpotensi menjejaskan pekerjaan apabila individu terbabit tidak mampu memenuhi tuntutan hutang atau berlaku pertikaian dengan pihak yang memberikan pinjaman.
“Ini yang saya lihat sebagai kesan kepada keselamatan kerana kebanyakan mereka bukan orang berada, sebaliknya merupakan golongan yang sedang berusaha mencari rezeki,” katanya.
Beliau berkata, NGO yang didakwa menawarkan perkhidmatan berkenaan dilaporkan aktif di beberapa daerah termasuk Lahad Datu, Semporna, Pitas, Tawau, Sandakan dan Kudat.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau penyalahgunaan kepercayaan orang awam.
“Kita tidak mahu perkara ini berlarutan sehingga pada satu ketika kumpulan berkenaan sudah tidak dapat dikesan dan kerajaan pula dipersalahkan kerana tidak mengambil tindakan walaupun perkara itu sudah diketahui,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Ar Razee berkata, keinginan individu tanpa dokumen lengkap untuk mendapatkan dokumen pengenalan yang sah perlu difahami dalam konteks keperluan mereka untuk menjalani kehidupan dan bekerja dengan lebih teratur.
Katanya, MyKAS bukan dokumen yang memberikan kewarganegaraan, sebaliknya merupakan dokumen pengenalan yang mempunyai fungsi tersendiri dan tidak wajar disamakan dengan status sebagai warganegara.
Beliau berkata, terdapat individu bukan warganegara di Sabah yang mahu mendapatkan dokumen bagi memudahkan urusan pekerjaan dan pergerakan mereka secara teratur.
“Ramai antara mereka bekerja dalam sektor yang diperlukan masyarakat termasuk perladangan, kelapa sawit, pembantu rumah, kedai makan, restoran dan kerja-kerja lain,” katanya.
Menurutnya, usaha memastikan urusan dokumentasi dilakukan melalui saluran yang betul penting bagi melindungi kepentingan individu terbabit serta mengelakkan mereka bergantung kepada pihak yang tidak diberi kuasa.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya mengamalkan sikap bertimbang rasa terhadap individu yang menghadapi kekangan dokumentasi, sambil memastikan semua urusan berkaitan dokumen dibuat mengikut undang-undang dan prosedur yang ditetapkan.
“Kita sebagai warganegara perlu bersyukur dengan status yang kita miliki dan pada masa sama bertimbang rasa terhadap mereka yang kurang bernasib baik dari segi dokumentasi,” katanya.
Mohd Ar Razee berkata, orang ramai khususnya mereka yang sedang berusaha mendapatkan dokumen pengenalan perlu lebih berhati-hati terhadap mana-mana pihak yang menawarkan perkhidmatan dengan janji kelulusan atau proses khas.
Beliau turut mengingatkan agar sebarang permohonan berkaitan dokumen dibuat menggunakan saluran yang betul bagi mengelakkan sebarang penipuan.
Pada Rabu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi laman Facebook rasminya menjelaskan bahawa jabatan itu tidak pernah melantik mana-mana NGO, individu atau ejen luar untuk menguruskan permohonan MyKAS.
JPN turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai mana-mana pihak luar yang mendakwa mampu menjamin kelulusan, menawarkan perkhidmatan berbayar atau menyediakan perkhidmatan khas bagi urusan MyKAS.
Orang ramai juga disaran mendapatkan maklumat dan membuat urusan berkaitan MyKAS terus melalui saluran rasmi JPN bagi memastikan proses berkenaan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.
