KOTA KINABALU, 16 Ogos 2026 – Pembentukan jajaran politik baharu membabitkan Parti Warisan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) didakwa mempunyai agenda politik lebih besar, termasuk usaha mendapatkan pengaruh dan kuasa di peringkat negeri serta Persekutuan.
Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah, berkata pengumuman Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter, mengenai penarikan sokongan parti itu terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan pembentukan ‘Blok Borneo’ bersama Warisan serta STAR menimbulkan persoalan mengenai hala tuju sebenar kerjasama berkenaan.
Menurutnya, alasan pembentukan jajaran itu sebagai persediaan menghadapi PRU16 perlu dilihat secara kritikal kerana ia dikhuatiri menjadi sebahagian daripada percaturan politik untuk mempertahankan kepentingan tertentu.
Beliau menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai satu lagi episod politik yang mengundang pelbagai persoalan, khususnya apabila pendirian parti dan wakil rakyat dilihat tidak selari.
Aksyah turut mempersoalkan kenyataan KDM mengenai tindakan menarik diri daripada GRS, dengan merujuk penjelasan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, bahawa KDM bukan parti komponen gabungan berkenaan.
Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan bagaimana KDM boleh mengumumkan keputusan untuk keluar daripada sebuah gabungan yang menurut penjelasan tersebut tidak pernah menerima parti itu sebagai komponen.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata pendirian ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman, yang memilih untuk terus menyokong kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, memperlihatkan wujud perbezaan pendirian antara kepemimpinan KDM dengan wakil rakyatnya.
Menurut Aksyah, Rusdin yang juga ADUN tunggal KDM di DUN Paginatan telah menyatakan komitmen untuk terus memberikan sokongan kepada kerajaan negeri demi memastikan kestabilan pentadbiran dan agenda pembangunan di kawasan berkenaan tidak terjejas.
Beliau berkata pendirian itu menunjukkan keputusan mengenai penarikan sokongan tidak semestinya mencerminkan pendirian semua wakil rakyat KDM, selain menyifatkan Rusdin sebagai pengecualian dalam perkara berkenaan.
Aksyah pada masa sama mempersoalkan kedudukan Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, yang menurutnya menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA) pada April lalu, namun kini dikaitkan dengan jajaran politik bersama Warisan dan KDM.
Beliau mendakwa keadaan itu memperlihatkan percanggahan apabila seorang pemimpin masih memegang kedudukan dalam struktur kerajaan, tetapi pada masa sama terlibat dalam gerakan politik yang dilihat berlawanan dengan kerajaan negeri.
Aksyah mendakwa percaturan berkenaan menyerupai pendekatan ‘makan tebu kedua-dua belah’, iaitu menikmati kedudukan serta kemudahan kerajaan sambil bergerak untuk mencabar pentadbiran sedia ada.
Beliau turut mendakwa pembentukan Blok Borneo berpotensi bertujuan mengumpulkan sebanyak mungkin kerusi Parlimen pada PRU16 bagi membolehkan gabungan berkenaan memainkan peranan sebagai ‘King Maker’ dalam menentukan pembentukan kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, sekiranya jumlah kerusi yang diperoleh mencukupi, kedudukan itu berkemungkinan digunakan sebagai pengaruh dalam rundingan pembentukan kerajaan di Putrajaya.
Aksyah mendakwa antara kemungkinan yang boleh berlaku ialah sokongan terhadap pembentukan kerajaan Persekutuan dijadikan asas untuk mendapatkan tuntutan politik termasuk perubahan terhadap kerajaan negeri Sabah yang dipimpin GRS.
Beliau menyifatkan kemungkinan tersebut sebagai bentuk baharu operasi ‘tebuk atap’ yang didakwanya dirancang dari Putrajaya untuk mengubah kerajaan negeri tanpa melalui proses demokrasi yang sewajarnya.
Katanya, pengalaman politik lalu perlu dijadikan pengajaran agar percaturan sama tidak berulang sehingga menjejaskan kestabilan pentadbiran dan kepentingan rakyat Sabah.
Dalam pada itu, Aksyah berkata rakyat Sabah kini lebih mampu menilai prestasi sesebuah kerajaan berdasarkan rekod pentadbiran, termasuk aspek kewangan dan pembangunan negeri.
Beliau mendakwa pentadbiran Hajiji berjaya memperkukuh kedudukan kewangan Sabah sehingga rizab negeri menghampiri RM9 bilion.
Menurutnya, pencapaian tersebut perlu dibandingkan dengan retorik politik yang hanya menumpukan kepada perebutan kuasa.
Aksyah berkata rakyat Sabah tidak seharusnya mudah dipengaruhi slogan politik, sebaliknya perlu menilai sejauh mana sesebuah kepemimpinan mampu memastikan kestabilan ekonomi, kesinambungan pembangunan dan kepentingan rakyat terus terpelihara.
“Rakyat Sabah hari ini mahukan kestabilan ekonomi, bukannya siri drama perebutan kuasa yang tidak berkesudahan,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
