TAWAU, 16 Ogos 2026 – Sektor ekonomi biru dilihat mempunyai potensi besar untuk menjadi sumber pertumbuhan baharu Sabah apabila kerajaan Persekutuan mempertimbangkan beberapa cadangan pembangunan berasaskan sumber marin untuk diberi perhatian dalam Belanjawan 2027.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Sabah memiliki kekayaan sumber laut dan sungai yang boleh dimanfaatkan bagi mewujudkan aktiviti ekonomi bernilai tinggi serta memberi manfaat lebih besar kepada rakyat dan negeri.
Menurutnya, cadangan berkaitan pembangunan ekonomi biru yang sedang dirangka kerajaan negeri akan diteliti bersama kementerian berkaitan sebelum dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2027.
“Daripada perancangan yang ada, kita akan berbincang dengan kementerian yang berkenaan untuk memasukkan inisiatif yang baik ke dalam Belanjawan 2027.
“Mungkin beberapa cadangan boleh dibawa ke tahun-tahun akan datang kerana ia menjadi teras dan asas kepada ekonomi biru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi libat urus Jelajah Belanjawan 2027 yang memfokuskan pembangunan sektor ekonomi biru di Sabah, di sini, hari ini.
Amir Hamzah berkata, ekonomi biru tidak wajar dilihat hanya dari sudut pelancongan seperti aktiviti menyelam dan ekopelancongan, sebaliknya perlu merangkumi bidang lain termasuk akuakultur, perikanan dan industri hiliran berasaskan sumber marin.
Katanya, pendekatan secara menyeluruh terhadap pembangunan industri berasaskan laut berupaya meningkatkan nilai produk tempatan, di samping menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Sabah.
“Sabah kaya dengan sumber semula jadi, bukan sahaja dari segi pelancongan yang berkaitan dengan ekonomi biru, tetapi juga sumber daripada laut dan sungai.
“Kalau kita lihat industri rumpai laut, ia sudah membuka segmen ekonomi baharu apabila hasil tanaman pengusaha tempatan diproses sebelum dieksport ke pasaran antarabangsa termasuk China dan United Kingdom,” katanya.
Beliau berkata perkembangan industri rumpai laut membuktikan Sabah mempunyai keupayaan untuk meningkatkan nilai hasil tempatan, berbanding hanya bergantung kepada eksport bahan mentah.
Dalam masa sama, kerajaan negeri disaran meneroka lebih banyak peluang dalam sektor perikanan laut dalam serta memperluaskan kegiatan pemprosesan dalam negeri supaya nilai ekonomi daripada sumber berkenaan dapat dikekalkan sebanyak mungkin di Sabah.
“Daripada segi perikanan laut dalam yang boleh dibangunkan dan proses yang lebih bernilai tambah di dalam negeri, pulangan kepada negeri boleh ditingkatkan dan peluang pekerjaan juga dapat dijana dengan lebih baik,” katanya.
Amir Hamzah berkata kerajaan Persekutuan turut memberi perhatian kepada keperluan infrastruktur serta aspek pembiayaan bagi memastikan sektor ekonomi biru dapat berkembang secara mampan.
Menurutnya, pandangan dan cadangan yang dikemukakan pemain industri sepanjang Jelajah Belanjawan 2027 penting bagi membantu kerajaan menentukan keutamaan pembangunan serta bentuk sokongan yang bersesuaian.
Katanya, kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kementerian berkaitan akan diteruskan bagi memastikan cadangan yang dikemukakan dapat diterjemahkan kepada program pembangunan yang memberi impak kepada ekonomi Sabah.
“Kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan kementerian berkaitan untuk melihat bagaimana program yang diutarakan dapat direalisasikan,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
