SEMPORNA: Anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Bugaya perlu memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan di peringkat akar umbi bagi memastikan keperluan rakyat dapat disampaikan dengan cepat dan tepat.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bugaya, Datuk Marunda KK Ampong, berkata pelantikan JKKK bukan sekadar satu penghargaan tetapi amanah besar untuk memastikan suara dan kepentingan masyarakat terus mendapat perhatian kerajaan.
Katanya, anggota JKKK berada pada kedudukan paling hampir dengan penduduk dan lebih mengetahui keadaan sebenar di kampung masing-masing termasuk keperluan pembangunan, ekonomi, kebersihan, kesihatan dan keselamatan.
“JKKK bukan hanya bertanggungjawab menyampaikan kemudahan yang disalurkan kerajaan, tetapi turut menjadi penghubung yang menyampaikan apa yang berlaku dan apa yang diperlukan oleh penduduk kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata peranan itu penting supaya perancangan pembangunan dapat dibuat berdasarkan keperluan sebenar masyarakat dan dilaksanakan secara lebih tersusun.
Marunda berkata aspek keselamatan komuniti juga perlu diberikan perhatian dengan JKKK membantu mewujudkan kesedaran dalam kalangan penduduk serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan yang boleh menjejaskan kesejahteraan kampung kepada pihak berkuasa.
“Kerjasama masyarakat dengan JKKK dan ketua kampung amat penting kerana keselamatan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi memerlukan penglibatan semua pihak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memuji kejayaan Ketua Polis Daerah (OCPD) Semporna dan pasukannya dalam membanteras kegiatan pengedaran dadah baru-baru ini yang membawa kepada rampasan 254 kilogram syabu bernilai kira-kira RM12 juta.
Marunda berkata kejayaan berkenaan membuktikan bahawa kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan dan masyarakat mampu membantu memastikan kawasan Semporna terus berada dalam keadaan aman dan selamat.
Beliau berkata JKKK perlu menggunakan kedudukan mereka untuk memperkukuh hubungan antara penduduk dengan agensi kerajaan supaya sebarang isu di peringkat kampung dapat diberi perhatian sewajarnya.
Pada masa sama, Marunda mengingatkan anggota JKKK supaya sentiasa mempertahankan integriti dan melaksanakan tugas tanpa menyalahgunakan kuasa atau kedudukan yang diberikan.
“Kita mahu pemimpin masyarakat mempunyai integriti yang tinggi kerana kepercayaan rakyat bermula daripada kepimpinan yang amanah,” katanya.
Beliau berkata JKKK yang berintegriti juga dapat membantu membentuk masyarakat yang lebih bersatu, prihatin dan bertanggungjawab terhadap persekitaran masing-masing.
Menurutnya, pihaknya akan mengadakan pertemuan susulan bersama ketua kampung, wakil ketua kampung dan pemimpin komuniti selepas proses pelantikan selesai bagi memperkemas peranan serta tanggungjawab mereka.
Katanya, matlamat utama adalah memastikan setiap kampung mempunyai kepimpinan yang dekat dengan rakyat dan mampu membawa isu serta aspirasi masyarakat kepada kerajaan secara berkesan.
“Kalau kampung kita bersih, masyarakat sihat, aman dan harmoni, pembangunan akan lebih mudah dilaksanakan dan rakyat juga dapat menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata anggota JKKK yang menerima watikah pelantikan perlu melihat amanah itu sebagai peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat dan membantu kerajaan memperkukuh pembangunan di kawasan Bugaya.
