Batu Pahat: Bapa kepada ahli perniagaan yang dibunuh sebelum mayatnya dibalut dengan jaring dan dibuang ke dalam sungai menangis ketika mendengar prosiding pertuduhan empat lelaki di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Lelaki berusia 60-an pada mulanya kelihatan sayu ketika berjalan sambil dipegang ahli keluarganya menuju ke kamar mahkamah bagi mendengar sebutan kes pembunuhan anaknya, Low Kai Xian, 39.
Bagaimanapun, sebaik mendengar pertuduhan dibaca, lelaki itu tiba-tiba menitis air mata.
Peguam pemerhati kepada keluarga lelaki itu, Chuah Shyue Chien memberitahu, bapa mangsa sedih mengenangkan tragedi menimpa anaknya.
“Dia sedih dan menangis. Kami diberitahu ahli keluarga, mereka menyerahkan sepenuhnya keputusan itu kepada mahkamah terhadap pembunuh anaknya.
“Itulah yang mereka sampaikan kepada kami sebelum prosiding bermula,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, empat lelaki bakal berhadapan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang ahli perniagaan awal bulan ini.
Mereka ialah Yogesvaran Subramaniam, 40; Lim Yong Ming, 26; Achuthan Nagarajan, 32, dan How Han Wei, 33.
Yogesvaran yang juga pemandu lori, Yong Ming dan Achuthan pula kelindan lori, manakala Han Wei seorang peniaga kenderaan terpakai, hanya mengangguk sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Dalam pada itu, beberapa ahli keluarga mangsa menunggu seawal jam 7.45 pagi di luar perkarangan mahkamah bagi melihat lebih dekat tertuduh yang membunuh ahli keluarganya.
Namun, kesemua mereka enggan ditemu bual sebelum masing-masing beredar meninggalkan mahkamah.
Kredit sumber: Harian Metro
