MIRI: Penantian lebih tiga dekad Yeo Chan Hiong berakhir apabila lelaki berusia 61 tahun itu memperoleh kewarganegaraan Malaysia selepas beberapa kali menemui kegagalan dalam permohonannya sebelum ini.
Kejayaan itu sekali gus menamatkan ketidakpastian yang dihadapinya selama bertahun-tahun, meskipun isteri dan keempat-empat anaknya yang kini berusia antara 24 hingga 30 tahun merupakan warganegara Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting berkata, kelulusan berkenaan merupakan detik penting buat Yeo yang tidak pernah berputus asa untuk memohon kewarganegaraan walaupun beberapa permohonan terdahulu tidak berjaya.
“Saya sangat gembira kerana selepas sekian lama membuat permohonan, akhirnya beliau menerima kad pengenalan Malaysia.
“Beliau tidak pernah berputus asa walaupun permohonan sebelum ini tidak berjaya,” katanya pada sidang media bersama Yeo di pejabatnya di bangunan SUPP Piasau di sini, hari ini.
Menurut Ting, kes Yeo agak rumit berikutan latar belakang keluarganya meskipun kedua-dua ibu bapanya merupakan rakyat Sarawak berketurunan Cina.
Beliau berkata, kejayaan permohonan itu juga merupakan hasil usaha selama bertahun-tahun dengan bantuan pelbagai pihak yang berusaha membantu menyelesaikan isu kewarganegaraan Yeo.
Ting turut mengucapkan tahniah kepada Yeo dan berharap kejayaannya menjadi pembakar semangat kepada individu lain yang masih berdepan masalah sama supaya tidak berputus asa.
“Saya ingin menyeru mereka yang masih membuat permohonan dan belum mendapat kewarganegaraan supaya jangan berputus asa.
“Bagi mereka yang belum memohon, datang dan cubalah.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu,” katanya.
Kredit sumber: Utusan Borneo Online/Disiarkan pada 17 Ogos 2026
